Monday, June 25, 2012

Timba Pengalaman Bertani di Bandung



ORANG Asli di negara ini walau dari suku apa pun, sebelum ini sinonim dengan kemunduran dan cara hidup yang tertutup serta sukar dipisahkan dengan persekitaran hutan atau kawasan pinggir hutan.

Namun kini, mereka semakin berdaya saing dan mula terbabit dengan aktiviti luaran yang bersifat terbuka. Transformasi di kalangan masyarakat Orang Asli juga sedang giat dilakukan.

Paling membanggakan ialah masyarakat Orang Asli dari daerah Jelebu, Negeri Sembilan yang bukan sahaja semakin membangun, malah mencari peluang dan pengalaman sehingga ke peringkat global.

Baru-baru ini, sekumpulan 13 orang suku Temuan dari beberapa perkampungan Orang Asli di Jelebu terlibat dalam lawatan sambil belajar ke Jakarta dan Bandung, Indonesia.

Ia dikatakan yang pertama seumpamanya pernah diadakan melibatkan Orang Asli di negara ini.

Lawatan selama enam hari itu hasil inisiatif Persatuan Permata Budi Klawang (Permata Budi), iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang.

Program berkenaan turut disokong Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Rombongan diketuai Penaung Permata Budi, Datin Juriah Suleiman yang juga isteri ADUN Klawang, Datuk Yunus Rahmat. Turut serta Pengerusi Permata Budi, Maimunah Mohd Yusuf.

Peserta daripada kalangan Orang Asli termasuk dua orang Tok Batin, seorang ketua kampung (Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan tujuh peserta yang merupakan petani.


Tiga orang lagi adalah pelajar terbaik Orang Asli dari Kampung Parit Gong, Pertang di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al-Haj, Kuala Klawang.

Bagi hampir kesemua peserta Orang Asli itu, ia adalah pengalaman sulung menaiki kapal terbang dan pada masa sama juga kali pertama menjejakkan kali di negara orang.

Kegirangan mereka dapat dirasa dan disaksikan sendiri oleh saya yang turut menyertai lawatan itu.

Apa tidaknya, bermula di dalam bas dari Jelebu sehingga daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kemudian ketika di dalam kapal terbang dan sejurus pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, riak wajah mereka jelas menceritakan kegembiraan yang tidak terhingga.

Tempat tujuan utama program itu adalah ke mukim Lembang, daerah Bandung Barat. Namun, ahli rombongan bermalam di Jakarta pada hari pertama berada di bumi Indonesia.

Pada hari kedua, sebelum ke Bandung, beberapa peserta mengadakan kunjungan hormat ke atas pegawai kanan Bank Rakyat Indonesia (BRI), iaitu kumpulan perbankan yang memiliki Bank Agro Indonesia.

Dalam kunjungan singkat di salah sebuah cawangan BRI di Jakarta, seorang peserta Orang Asli, Adeng Geboi, 49, yang juga Tok Batin Kampung Ulu Kelaka meluahkan betapa gembiranya beliau dan rakan-rakan dibawa mempelajari tentang bidang pertanian di Indonesia.

“Saya rasa seolah-olah bermimpi apabila menjejak kaki di bumi Indonesia ini. Saya tidak pernah menyangka akan berpeluang berkunjung ke negara orang.


“Saya akan gunakan pengalaman dan ilmu sepanjang berada di Jakarta dan Bandung untuk meningkatkan daya saing masyarakat Orang Asli di kampung kami di Malaysia," katanya.

Dalam taklimat berkaitan, para peserta diberi gambaran tentang sejarah penubuhan Bank Agro Indonesia dan sumbangannya dalam memajukan masyarakat petani di Indonesia.

Rombongan kemudian meneruskan perjalanan menaiki bas ke Bandung, kira-kira 180 kilometer dari kota raya Jakarta dan tiba di hotel penginapan pada malam hari kedua.

Pada pagi hari ketiga, kesemua 13 peserta Orang Asli dan 10 urus setia di bawa ke lokasi utama iaitu di mukim Lembang, kawasan tanah tinggi kira-kira 30 kilometer dari bandar Bandung.

Ketibaan mereka yang diiringi dua motosikal dan sebuah kereta peronda polis trafik di Kampung Gandok dekat Desa Suntenjaya disambut mesra oleh para penduduk kedua-dua kampung tersebut.

Terdapat kira-kira 1,200 orang penduduk di perkampungan itu yang kebanyakannya bergiat dalam bidang pertanian dan popular dengan hasil terbaik baby buncis atau buncis kecil.

Persinggahan pertama ialah di Rumah Kemas dan Sekretariat, iaitu pusat pembungkusan hasil tani bagi Kelompok Tani Baby French dan Gabungan Kelompok Tani Wargi Panggupay Kampung Gandok.

Di pusat itu, rombongan diberi taklimat oleh Ketua Gabungan Kelompok Tani Wargi Panggupay, Ulus Pirmawan.

Ternyata rombongan Orang Asli dari Jelebu memperoleh banyak ilmu di Kampung Gandok. Ini termasuk bagaimana program pertanian berkelompok komersial yang dimulakan pada 2005 itu meningkatkan pendapatan dan sosio ekonomi hampir 100 keluarga di kampung tersebut.

Setiap keluarga peserta yang menyertai program berkelompok itu kini boleh berbangga memperoleh sehingga Rp5 juta (RM1,703) sebulan, suatu angka yang sangat tinggi.

Jumlah itu mengatasi gaji bulanan seorang hakim, pegawai polis, guru dan pegawai swasta lain di Indonesia.


Menurut Ulus, antara tanaman yang diusahakan secara komersial oleh para penduduk Kampung Gandok adalah kacang buncis biasa, baby’ buncis, kubis, tomato, brokoli, timun Jepun dan cili.

“Hampir semua tanaman terutama baby buncis dibungkus di pusat pembungkusan di kampung ini sebelum dieksport ke Singapura.

“Kami akan pastikan baby’ buncis ini mematuhi kualiti eksport iaitu berukuran 11-13 sentimeter, tidak cacat, lurus, tiada serpihan hitam atau coklat, tiada hama penyakit dan warna hijau cerah," katanya.

Tambahnya, program pertanian berkelompok di kampung itu mendapat bantuan daripada pihak Jabatan Pertanian dan juga Fakulti Pertanian, Universiti Padjajaran, Bandung.

Selepas sesi soal jawab, kesemua anggota rombongan dibawa melawat kawasan perkebunan program berkelompok tersebut.

Pelbagai maklumat dan ilmu baru dipelajari, termasuk kaedah mengoptimumkan penggunaan tanah serta mengusahakan lebih daripada satu tanaman di tapak sama.

Sesungguhnya, lawatan sekumpulan Orang Asli dari Jelebu ke Jakarta dan Bandung ini memenuhi hasrat kerajaan untuk melihat suku kaum itu juga melakukan transformasi kehidupan dan sumber pendapatan.

Sumber - Utusan