Tuesday, October 9, 2012

Cabaran Teknologi Tingkat Hasil Pertanian


POPULASI penduduk dunia meningkat, kawasan pertanian mengecil, pemanasan global manakala sumber air dan tenaga semakin berkurangan.

Apabila populasi meningkat, bagaimana hendak meningkatkan pengeluaran makanan dengan sumber terhad?

Justeru saintis mencipta kaedah organisma yang terubah suai secara genetik atau ringkasnya GM dalam bidang bioteknologi bagi mendapatkan tanaman yang lebih produktif, rintang perosak dan cuaca melampau.

Bagaimanapun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dunia menentangnya dengan pelbagai alasan.

Ada yang mendakwa produk GM membawa kesan buruk kepada masyarakat dunia sehingga dilabelkan sebagai Frankestein Food.

Sebenarnya apa itu produk GM? Produk GM didefinisi sebagai organisma yang ditambah dengan DNA asing menggunakan kaedah bioteknologi dan tidak berlaku secara semulajadi.

Biasanya DNA asing ditambah bagi meningkatkan kualiti sesuatu tanaman seperti dalam kacang soya bagi rintang terhadap serangga.

Pengarah PG Economics Ltd. UK, Graham Brookes yang menjalankan kajian mengenai impak teknologi baru terhadap ekonomi, pertanian dan alam sekitar selama 25 tahun berkata, tanaman GM mula ditanam secara komersial di seluruh dunia sejak 1996.

"Pada tahun lalu saja 160 juta hektar kawasan pertanian oleh 16.7 juta petani dengan tanaman GM iaitu 90 peratus di negara membangun.

"Semua tanaman bioteknologi yang ditanam perlu menjalani pemeriksaan saintifik yang ketat oleh kerajaan merangkumi kesan kepada kesihatan dan alam sekitar sebelum dibenarkan ditanam," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Impak Global Tanaman Bioteknologi: Kesan Ke Atas Ekonomi dan Alam Sekitar 1996-2010.

Seminar sehari itu bertajuk Teknologi GM bagi Keselamatan Makanan, Kesihatan dan Alam Sekitar Mapan anjuran Pusat Informasi Bioteknologi Malaysia (MABIC) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Brookes berkata, selepas lebih 15 tahun menanam dan menggunakan tanaman GM, tidak terdapat bukti keburukan tanaman berkenaan kepada kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Sehingga kini, Amerika Syarikat (AS), India, China dan Filipina telah menanam tanaman bioteknologi merangkumi kacang soya, kanola, jagung dan kapas.

"Kebanyakan tanaman yang ditanam sama ada rintang terhadap serangga atau insect resistant (IR) dan toleransi racun rumpai atau herbiside tolerance (HT)," katanya.


Justeru penggunaan kedua-dua tanaman IR dan HT bukan saja dapat meningkatkan pengeluaran bahkan meningkatkan taraf kesihatan dan alam sekitar.

"Penggunaan tanaman IR dan HT dapat mengurangkan pencemaran kerana penggunaan racun perosak dapat dikurangkan menyebabkan kurang kes keracunan di kalangan petani.

"Kajian menunjukkan penggunaan racun serangga di kawasan tanaman kapas di seluruh dunia dapat dikurangkan sehingga 170 juta kilogram setahun," katanya.
Brookes berkata, petani lebih suka tanaman GM kerana kebaikan yang diperolehi tetapi masalah timbul dengan penerimaan pengguna yang hanya mendengar daripada sebelah pihak.

Pengarah Eksekutif MABIC, Mahaletchumy Arujanan dalam kertas kerjanya GM Bukan Frankestein berkata, GM adalah cabaran bagi saintis untuk memberikan penerangan bagi menepis segala tuduhan yang anti-GM.

"Sebenarnya tiada kaitan antara Frankestein dan GM kerana evolusi dalam pertanian telah berlaku sejak beribu-ribu tahun lalu.

"Semua tanaman bermula dengan tumbuhan liar yang kemudiannya berevolusi menjadi tanaman yang boleh dimakan," katanya.

Malah kata Mahaletchumy, sesiapa saja pasti terkejut melihat induk asal jagung, gandum atau lobak sebelum berevolusi.


"Segalanya bagi mendapatkan produk yang lebih bagus," katanya.

Terdapat beberapa cara meningkatkan kualiti tanaman sama ada menggunakan kaedah konvensional atau moden termasuk GM.

Bagi kaedah GM, semuanya perlu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang ketat melibatkan pengeluaran biji benih sehingga ke meja makan.

Ini termasuk analisis seluruh tanaman, analisis biji benih, ciri-ciri keselamatan, toksikologi, penghadaman dan alam sekitar.

Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI, Indu Bala Jaganath berkata, Dasar Makanan Negara 2011 -2020 memastikan bekalan makanan mencukupi bagi seluruh rakyat negara ini.

"Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia akan kebuluran disebabkan harga makanan meningkat kerana bencana alam akibat pamasan global dan cuaca tidak menentu," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Teknologi GM bagi Menangani masalah Keselamatan Makanan dan Perubahan Cuaca.

Masalah kemarau di Thailand memberi kesan kepada tanaman padi dan ubi, masalah serangga perosak betik, pisang dan padi memberikan kesan buruk kepada petani di negara ini.


Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd 




Tuesday, October 2, 2012

Bajet 2013 : Sektor Usahawan Asas Tani


Mungkin entri ini agak lewat membicarakan perihal bajet 2013 yang fokus kepada usahawan asas tani.
Cuba kita lihat:


8. Pembiayaan TEKUN bagi usahawan kecil & sederhana
     - Peruntukan 2013: RM350 juta, termasuk RM50 juta bagi Skim Usahawan Masyarakat India.


10. Mencergas sektor pertanian & perladangan
     - Pembangunan program pertanian melalui aplikasi teknologi terkini –> RM 30 juta
     - Meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan –> RM75 juta
     - Program penanaman semula pokok kelapa sawit –> RM432 juta
     - Pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi –> RM127 juta
     - Memperkasa Projek Azam Tani –> RM 41 juta (manfaat hampir 6,700 peserta)


11. Menambah 4 kawasan jelapang padi baru – keluasan 19 ribu hektar
     - Kota Belud, Batang Lupar, Rompin & Pekan
     - Jangkaan menghasilkan 104 ribu tan metrik dan penyertaan 12,237 pesawah.


12. Elaun bantuan sara hidup RM 200 sebulan –> manfaat 55 ribu nelayan

13. Insentif 10 hingga 20 sen sekilo bagi hasil tangkapan ikan


14. Skim perlindungan insurans nelayan –> perlindungan hingga RM100,000


Secara amnya, tiada yang menarik perhatian para usahawan bagi bajet 2013 kali ini. Tiada yang istimewa dan menakjubkan selain pinjaman TEKUN yang seringkali dikaitkan dengan parti politik. Usahawan berasaskan produk pertanian masih lagi menunggu insentif atau skim yang boleh membantu serta menaiktaraf martabat industri ini.

Ini kerana kebanyakan usahawan asas tani adalah merupakan pengusaha kecil-kecilan yang masih belum boleh bersaing dengan Industri Kecil Sederhana (IKS) akibat kekangan modal, perkerja dan pemasaran.

Mungkin bagi petani dan nelayan, sedikit kelegaan dapat dirasakan pada kali ini. Mungkin juga benar kata orang bahawa bajet kali ini lebih kepada gula-gula politik.