Monday, December 31, 2012

RM28.9 bilion Menjelang 2020



KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan pendapatan negara kasar (GNI) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pertanian bertambah sebanyak RM28.9 bilion menjelang 2020.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, sejak dilancarkan pada 2010, NKEA pertanian itu telah menyumbang sebanyak RM20.2 bilion kepada GNI.

Jelasnya, sasaran itu dijangka tercapai sebelum 2020 memandangkan perkembangan pesat NKEA pertanian sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Daripada 17 projek permulaan (EPP) di bawah NKEA, industri akuakultur merupakan sektor yang menjadi penyumbang tertinggi kepada peningkatan jumlah tersebut.

"Kita ada kira-kira lapan tahun lagi sebelum 2020 dan saya menjangkakan bidang pertanian mampu mencapai sasaran yang ditetapkan itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian antara kementerian itu dengan empat syarikat peneraju NKEA pertanian di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah.

Mengulas lanjut, Noh memberitahu, NKEA pertanian berjaya menarik pelaburan berjumlah RM4 bilion sejak 2010 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM10 bilion menjelang 2020.

Katanya, sebanyak 108 syarikat swasta telah menyertai EPP di bawah NKEA pertanian yang dilihat mampu membantu mempercepatkan lagi projek-projek yang dijalankan.

"Selain menyumbang kepada GNI, projek-projek NKEA pertanian itu juga mewujudkan sebanyak 23,533 peluang pekerjaan sejak 2010 hingga sekarang," katanya.

Beliau menambah, melalui projek itu juga kerajaan menyasarkan peluang pekerjaan akan meningkat kepada 74,600 dalam tempoh lapan tahun akan datang.