Tuesday, April 14, 2015

Pertanian Bukan Pilihan Terakhir


KOTA BHARU - Bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya bidang pertanian menjadi keutamaan sebahagian belia di negeri ini apabila ramai memilih menceburkan diri dalam lapangan tersebut yang mula diakui berpotensi untuk dimajukan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustafa berkata, fenomena baharu itu dilihat positif apabila sudah ada kesedaran dalam kalangan belia untuk bersama-sama memajukan bidang pertanian yang sebelum ini banyak dipelopori golongan berusia.

“Kali ini agak luar biasa, isu yang dibangkitkan mengenai keperluan dalam bidang pertanian. Saya terkejut kerana biasanya belia tidak suka aktiviti pertanian tetapi mereka ingin mencebur diri dalam pertanian.

“Mereka mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta kerajaan menyediakan dana bagi membolehkan mereka terlibat secara langsung dalam pertanian,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 1/2015 peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota, di sini, semalam.

Makhtar berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kementerian terbabit berhubung perkara itu dan berharap ia dipandang serius, sekali gus memberi peluang kepada belia yang begitu berminat untuk membina kerjaya dalam bidang tersebut.

Mengulas lanjut, Makhtar berkata, pihaknya akan berusaha memastikan usul dicadangkan diambil tindakan segera dengan mengemukakan kepada pihak berkenaan, sama ada secara langsung mahupun melalui surat secara rasmi mengenai resolusi dibawa belia.

“Saya percaya, tidak susah untuk kita laksanakan cadangan dikemukakan, kecuali yang melibatkan pinjaman sebab kita tahu program seumpama ini sudah dilakukan sebelum ini tetapi masih ada yang gagal menyelesaikan dana yang dipinjamkan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas bantuan RM500 untuk mangsa banjir di negeri ini, Makhtar berkata, sehingga kini kira-kira 80 peratus selesai, manakala selebihnya sedang diagihkan kepada beberapa parlimen termasuk Kota Bharu.

“Kita harap mangsa banjir bersabar. Sekiranya ada yang tidak dapat, buat rayuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dipertimbangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pertindihan nama, kad pengenalan dan faktor bukan warganegara dikatakan punca permohonan tersebut ditolak,” katanya.

Sumber : Sinar Harian