Tuesday, April 14, 2015

Pertanian Bukan Pilihan Terakhir


KOTA BHARU - Bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya bidang pertanian menjadi keutamaan sebahagian belia di negeri ini apabila ramai memilih menceburkan diri dalam lapangan tersebut yang mula diakui berpotensi untuk dimajukan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustafa berkata, fenomena baharu itu dilihat positif apabila sudah ada kesedaran dalam kalangan belia untuk bersama-sama memajukan bidang pertanian yang sebelum ini banyak dipelopori golongan berusia.

“Kali ini agak luar biasa, isu yang dibangkitkan mengenai keperluan dalam bidang pertanian. Saya terkejut kerana biasanya belia tidak suka aktiviti pertanian tetapi mereka ingin mencebur diri dalam pertanian.

“Mereka mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta kerajaan menyediakan dana bagi membolehkan mereka terlibat secara langsung dalam pertanian,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 1/2015 peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota, di sini, semalam.

Makhtar berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kementerian terbabit berhubung perkara itu dan berharap ia dipandang serius, sekali gus memberi peluang kepada belia yang begitu berminat untuk membina kerjaya dalam bidang tersebut.

Mengulas lanjut, Makhtar berkata, pihaknya akan berusaha memastikan usul dicadangkan diambil tindakan segera dengan mengemukakan kepada pihak berkenaan, sama ada secara langsung mahupun melalui surat secara rasmi mengenai resolusi dibawa belia.

“Saya percaya, tidak susah untuk kita laksanakan cadangan dikemukakan, kecuali yang melibatkan pinjaman sebab kita tahu program seumpama ini sudah dilakukan sebelum ini tetapi masih ada yang gagal menyelesaikan dana yang dipinjamkan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas bantuan RM500 untuk mangsa banjir di negeri ini, Makhtar berkata, sehingga kini kira-kira 80 peratus selesai, manakala selebihnya sedang diagihkan kepada beberapa parlimen termasuk Kota Bharu.

“Kita harap mangsa banjir bersabar. Sekiranya ada yang tidak dapat, buat rayuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dipertimbangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pertindihan nama, kad pengenalan dan faktor bukan warganegara dikatakan punca permohonan tersebut ditolak,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Wednesday, June 12, 2013

Matrade: PKS Disaran Tembusi Pasaran F&B Bahrain

KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama mereka yang terlibat dalam industri makanan dan minuman halal telah dinasihatkan agar mengekspsort produk mereka ke Bahrain.

"Ini merupakan satu kelebihan kepada mereka untuk mengeksport ke Bahrain kerana negara itu tidak mempunyai industri halal," kata Datuk Dzulkifli Mahmud, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pengeksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Beliau berkata yang produk-produk itu juga boleh memenuhi keperluan penduduk di Arab Saudi kerana ia hanya setengah jam perjalanan dari Bahrain.

Dengan jumlah penduduk 1.25 juta, Bahrain mempunyai sistem cukai sifar yang bermakna PKS boleh menubuhkan syarikat di Bahrain, 100 peratus milik mereka sendiri dan seterusnya mengaut keuntungan besar.

Bercakap kepada pemberita di luar acara seminar mengenai "Peluang Perniagaan dan Pelaburan di Bahrain" di sini, beliau berkata yang Bahrain turut menawarkan potensi besar dalam sektor minyak dan gas, pembinaan dan bahan bangunan.

Seminar separuh hari itu juga bertujuan mewujudkan kesedaran untuk syarikat-syarikat Malaysia mengenai peluang eksport di Bahrain, serta untuk memahami dan menilai dengan lebih baik perniagaan, iklim pelaburan dan potensi di sana.

Beliau berkata yang syarikat-syarikat tempatan dalam sektor minyak dan gas perlu memberikan lebih tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan mereka kepada Bahrain yang mempunyai industri minyak dan gas yang pesat.

"Sebagai anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ia menawarkan peluang untuk syarikat-syarikat Malaysia memasuki pasaran GCC menerusi Bahrain," kata beliau.

Dalam sektor bahan bangunan, pengeluar boleh mengeksport bahan-bahan mereka seperti jubin dan produk logam ke Bahrain. 

Dzulkifli juga berkata yang kerajaan begitu serius menimbang menyertai dalam sektor pembinaan jambatan Manama Qatar yang mana pembinaannya telah ditangguhkan.

"Adalah menjadi harapan kerajaan untuk mendapatkan beberapa pakej pembinaan itu. Kami amat yakin kerana Malaysia mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja kejuruteraan," tambah beliau.

Syarikat-syarikat Malaysia telah terlibat dalam pembinaan Litar Antarabangsa Formula One Bahrain, Pusat Bandar Bahrain dan Bahrain Corridor Improvement Project.

Beberapa syarikat lain yang telahpun beroperasi di Bahrain termasuklah Malakoff Corp Bhd, Malayan Baking Bhd and Marrybrown Fried Chicken Sdn Bhd.

Pada 2012, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Bahrain berkembang pesat kepada US$291.11 juta daripada US$245.31 juta pada 2011.

Eksport utama Malaysia ke Bahrain termasuk produk kayu, minyak sawit dan produk elektrik dan elektronik. - Bernama

Friday, May 10, 2013

Kelebihan Teknik Fertigasi




MEREKA yang berminat menceburi bidang pertanian tanaman bernilai tinggi pastinya ingin mendalami ilmu mengenainya.

Bagaimanapun, ramai menghadapi masalah untuk mencari sumber sesuai untuk menimba pengetahuan dalam bidang tanaman yang kini popular sebagai fertigasi.

Oleh itu, Jabatan Pertanian menerusi Pusat Pertanian Telok Datok, Pejabat Pertanian Kuala Langat Banting, Selangor menawarkan kursus kaedah penanaman kepada mereka yang berminat.

''Pusat Pertanian ini dijadikan rujukan, tempat latihan dan menyediakan plot-plot tanaman contoh dan sering menerima pelawat yang ingin melihat sendiri bagaimana pertanian bernilai tinggi dijalankan,'' kata Pembantu Pertanian Kanan Pusat tersebut, Ramli Yahaya.

Beliau berkata, kawasan tersebut merangkumi keluasan enam ekar yang menempatkan enam rumah fertigasi untuk tanaman tomato dan melon.

Beliau berkata, pusat tersebut telah berjaya menerima Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) yang diusahakan pada 2011 dan dianugerahkan secara rasmi pada tahun lepas.
Dengan pengiktirafan tersebut, pengurusan pusat berkenaan boleh berbangga kerana berjaya melepasi kira-kira 160 kriteria yang dinilai.

Perkara tersebut termasuklah tidak menggunakan racun dan pengurusan persekitaran yang lestari.

Malah, buah yang dihasilkan daripada projek tersebut perlu dianalisis di makmal bagi mengetahui tahap sisa racun dan kandungan logam berat.

Analisis tersebut dijalankan di makmal jabatan berkenaan di Jalan Galagher , Kuala Lumpur.
Menurut Ramli, projek tanaman fertigasi pada dasarnya menguntungkan dan mendapat permintaan terutama mereka yang inginkan makanan bebas racun.

Harganya mungkin tinggi sedikit mungkin kerana kos pengeluaran agak tinggi.

Bagi membina satu projek asas , infrastruktur yang diperlukan termasuk struktur pelindung hujan (SPH) atau bumbung biasa sebagai pelindung, paip besar daripada tangki fertigasi, paip kecil yang disambung kepada penitis.

Penitis dimasukkan ke medium tanaman biasanya daripada cocoa peat yang memang pokok.

Baja adan air dicampurkan bersama dalam tangki besar dan disalurkan ke pasu yang mengandungi medium tanaman menerusi paip atau saluran kecil.

Menurut Ramli, teknik fertigasi boleh digunakan pada banyak jenis tanaman khususnya yang berbuah tetapi lebih elok jika dipilih jenis yang bernilai tinggi.

Di pusat tersebut, pihaknya menanam rock melon dan tomato varieti baccarat dan sering mendapat sambutan daripada masyarakat sekitar yang datang membelinya sebaik mengetahui projek di situ tiba waktu memungut hasil.

Seorang pekerja, Muhammad Ruzaini Hasnan memberitahu, apabila tiba musim pokok mengeluarkan hasil, pekerja akan sibuk memetik buah setiap dua hari sekali.

''Setiap kali memetik buah, kami dapat mengutip sehingga 80 kilogram,'' katanya yang dibantu rakan Mohamad Al-Hafiz Sarlan.

Dalam pada itu mereka yang berminat menyertai kursus berkaitan fertigasi di pusat tersebut boleh menghubungi Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat di talian 03-31814773.

Sebanyak lapan kursus dianjurkan untuk petani setiap tahun dan lapan lagi termasuk dua sesi lawatan untuk usahawan industri asas tani turut ditawarkan.

Penganjur menyediakan antara 30 hingga 40 kuota setiap kursus.

Tuesday, April 2, 2013

Potensi Baru Apollo Melon



“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’- peribahasa ini tepat sekali diberi kepada petani, Mohd Yaakub Nuri, 48, bagi menggambarkan hubungan erat di antaranya dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Dia yang biasa berurusan dengan Fama bagi menguruskan tanaman jagungnya, menyahut cabaran dan seruan dari Fama untuk mencuba satu tanaman baru iaitu Apollo Melon sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (Maha) 2012.

“Pada waktu itu, ada seorang pegawai Fama datang jumpa saya dan menawarkan untuk menanam Apollo Melon untuk diperkenalkan ketika Maha 2012 berlangsung.

“Ketika itu, Fama berjanji untuk membeli hasil tuaian buah tersebut dengan harga RM1.80 sekilogram (kg),” katanya pada InfoAgro ketika ditemui di Sekinchan, baru-baru ini.

Menurutnya, pada awalnya, dia menolak tawaran tersebut kerana harga yang dijanjikan terlalu murah.

“Jika harga sedemikian yang ditawarkan, baik saya tanam tembikai susu. Harga sekilogram tembikai susu mencecah RM2.50. Sudah tentu ia lebih menguntungkan,” jelasnya.

Namun begitu, katanya, setelah berfikir sekian lama, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menyahut cabaran tersebut.

Sebab Fama, saya sahut cabaran ini. Lagipun kita bukan kira nak untung saja. Satu hari orang tolong  kita, nanti giliran kita pula tolong orang,” senyumnya.

Selain itu, tambahnya, pihak Fama juga menjamin harga bagi setiap keluaran Apollo Melon.

“Fama berjanji sekiranya saya tidak dapat jualan dalam RM2,000, Fama menjamin untuk ‘membayar balik’ hasilnya. Lagipun ini adalah projek kerajaan dan tanaman Apollo Melon itu memang khas untuk Maha 2012,” katanya.



Perlu diperam

Mohd Yaakub berkata, setelah menyahut cabaran tersebut, dia memulakan tanaman Apollo Melon di atas tanah seluas 0.6 hektar di Parit 9, Sungai Leman, Sekinchan, Kuala Selangor.

“Saya tanam pada September 2012 dan mula menuai dua bulan kemudian,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, tanaman Apollo Melon tersebut ‘ditanam terlalu awal’ dan menyebabkan ia dituai seminggu sebelum Maha 2012 bermula.

“Keadaan tersebut menyebabkan Fama tidak jadi untuk membeli hasil tuaian Apollo Melon. Oleh itu, bagi mengelakkan kerugian, saya menjual sendiri buah tersebut kepada peraih dengan harga RM3 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat hasil tuaian Apollo Melon itu kira-kira dua hingga tiga tan dan tidak menyangka buah tersebut mempunyai permintaan tinggi walaupun baru diperkenalkan.

“Buah ini antara yang paling sedap. Tetapi cara makannya, perlukan sedikit masa kerana buah ini perlu diperam terlebih dulu.

“Kita tidak menggalakkan untuk makan secara terus selepas dipetik. Jika terus dimakan, rasanya seperti buah lai kerana kandungan buahnya yang tiada gula lagi dan agak ‘keras’,” jelasnya.

Tambahnya lagi, jika diletakkan Apollo Melon selama 10 hari di kedai-kedai runcit atau pasar borong, rasa dan kemanisan buah tersebut akan bertambah sedap dan lazat.

“Semakin lama buah tersebut diperam, semakin sedap rasanya. Isinya menjadi semakin lembut dan manis kerana kandungan gulanya terkumpul selepas lima atau enam hari dipetik,” katanya.

Tanaman Apollo Melon

Kini, Mohd Yaakub sedang menuai bagi tanaman Apollo Melon fasa kedua yang diusahakannya itu.

Menceritakan mengenai tanaman itu, dia berkata, Apollo Melon mengambil masa selama 55 hari sebelum dituai.

“Tempoh masa tuaian bagi buah ini lagi cepat berbanding tembikai susu yang mengambil masa 65 hari dan rock melon iaitu 75 hari,” katanya.

Katanya, biji benih diperoleh dari Taiwan dan mula popular di Indonesia.

“Tetapi, biji benihnya agak mahal yang mana sebiji  berharga 40 sen. Sepeket dalam RM200 untuk 600 biji benih. Semasa mula-mula keluar dulu, harganya lagi mahal iaitu dalam RM240,” jelasnya.

Menurutnya, penanaman Apollo Melon tidaklah terlalu rumit dan memerlukan jenis tanah lempung berpasir yang banyak mengandungi bahan organik serta dilimpahi sinar matahari sepanjang tahun.

“Jenis tanah ini memudahkan akar tanaman berkembang dan menyerap haba dari tanah serta memerlukan bekalan air yang mencukupi,” katanya.

Tambahnya lagi, Apollo Mellon memiliki karakter yang sama dengan Golden Melon.

“Warna kulitnya kuning keemasan dan tidak berjala. Isi buahnya renyah, manis dan tebal serta saiz buahnya yang besar dan mampu mencapai sehingga 2kg berat,” katanya.

Oleh kerana warna kulitnya kuning keemasan, Mohd Yaakub berkata, tumbuhan tersebut menarik minat serangan lalat buah.

“Makhluk perosak seperti lalat buah kuat menyerang buah ini lantaran warnanya yang terang. Masa bila dia serang, saya pun tidak tahu.

“Tahu-tahu apabila buah ini digoncang dan ia berair bagaikan buah kelapa dan di dalamnya berair. Apabila dibelah, ia bocor dan mengeluarkan bau busuk,” jelasnya.

Bagi mengatasi masalah serangan makhluk perosak tersebut, dia menyembur racun serangga sebanyak dua kali seminggu.

Dalam pada itu, dia berharap Apollo Melon ini dapat diperkenalkan pada semua masyarakat Malaysia dan menjadi sama terkenal seperti buah tembikai lain.

“Selama ini, ramai yang kenal buah rock melon saja dan dalam masa sama kita hendak menggalakkan petani lain menanam Apollo Melon.

“Apa yang saya tahu, jika di Malaysia, tanaman buah ini hanya terdapat di Kelantan dan buat masa ini saya sahaja yang mengusahakan tanaman Apollo Melon di Selangor,” katanya.

Selain itu, dia juga merancang untuk menanam Apollo Melon fasa ketiga pada pertengahan April ini di kawasan ‘green house’ yang dibinanya di Fasa 2, Parit 9, Sungai Leman, Sekinchan.

“Green house tersebut berkeluasan 40 kaki X 90 kaki mampu memuatkan hampir 700 pokok,” katanya.