Friday, August 26, 2011

Wednesday, August 24, 2011

Tips Tanam Bayam



Terdapat beberapa jenis bayam di negara kita. Antaranya ialah bayam hijau (Amaranthus spp.), bayam merah (Amaranthus gangeticus) dan bayam tricolor (Amaranthus tricolor). Semua bayam ini tergolong dalam keluarga Amaranthaceae dan berasal dari Amerika.

Bayam spinach (Spinacia oleraceae) pula mengandungi gen, fizikal dan rasa yang berbeza walaupun berasal dari keluarga yang sama. Bayam spinach tidak sesuai ditanam di negara beriklim tropika seperti Malaysia kerana ia cepat berbunga dan tidak banyak daun.

Bayam kaya dengan vitamin A, C dan E, fosforus, zat besi, kalium, magnesium, beta karoten dan zink.

Selain itu, bayam juga merupakan sumber baik asid berlemak omega 3, niasin dan selenium.

Bayam juga dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan pesakit yang mengidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan mereka yang menghadapi masalah ginjal.

Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.

Penanaman
  • Bayam sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai pH di antara 5.5 dan 6.5 adalah yang paling sesuai.
  • Sediakan batas berukuran satu meter (lebar) dan panjang bergantung pada kawasan.
  • Tanah digembur bersama kompos dan bahan organik. Sebanyak empat alur boleh dibuat dengan jarak tanaman 20 sentimeter (sm) antara alur.
  • Bayam ditanam terus menggunakan biji benih. Disebabkan biji benih terlalu kecil, gaulkan biji benih dengan pasir untuk menjarakkan biji benih semasa menabur benih di dalam alur batas.
  • Tutup batas yang terdedah dengan jerami padi atau daun kering sebagai sungkupan untuk kekalkan kelembapan tanah dan mengawal rumpai.
  • Selepas tiga atau empat hari, benih akan bercambah dan anak pokok akan mula kelihatan.

Penjarangan
  • Penjarangan perlu dibuat selepas seminggu biji benih bercambah. Anak benih yang tumbuh terlalu rapat perlu dibuang atau dipindahkan ke alur yang tiada anak benih.

  1. Aktiviti perlu dilakukan dengan hati-hati untuk mengelakkan kecederaan akar anak benih yang terlalu lembut.

  • Penjarangan penting bagi mengurangkan persaingan mendapatkan cahaya matahari dan nutrien antara pokok. Jika anak pokok terlalu banyak, pokok yang tumbuh akan bersaiz kecil dan kurang daun.


Pengairan
  • Bayam perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan dengan air bersih tanpa klorin.
  • Pengairan boleh dilakukan dengan dua cara iaitu siram manual atau dengan sistem pengairan renjis bergantung kepada kemampuan petani.

Pembajaan
  • Pembajaan menggunakan baja organik (yang dibeli atau buatan sendiri). Baja organik berproses diberi mengikut kadar yang disyorkan, biasanya antara 30g dan 50g sepokok dan ditabur pada minggu kedua selepas menanam.

  1. Jika baja organik buatan sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali.

  • Sebelum membaja rumpai yang tumbuh dibuang terlebih dahulu dan tanah digembur.
  • Baja organik boleh ditabur di antara alur tanaman.

Kawalan rumpai
  • Rumpai adalah musuh utama tanaman. Ia akan bersaing untuk mendapatkan ruang, cahaya matahari dan juga makanan. Selain itu, rumpai boleh menjadi perumah kepada serangga perosak.
  • Rumpai perlu dikawal setiap seminggu sekali. Jangan biarkan rumpai hingga ia berbunga.
  • Ia boleh dilakukan sama ada merumpai secara manual atau menggunakan mesin pemotong rumput.

Kawalan perosak dan penyakit
  • Ulat ratus sering memakan daun muda bayam. Amalkan menyembur racun organik daripada campuran cili padi, bawang putih, daun naem, daun kesum, serai wangi, kemangi, air dan sabun. Sembur setiap hari bagi serangan kritikal, dan dua atau tiga hari sekali bagi serangan biasa.
  • Penyakit hawar melecuh pula sering ditemui pada bayam jenis berdaun bulat, tetapi bayam berdaun bujur lebih toleran dengan penyakit ini. Amalkan tanaman bergilir sebagai kawalan.

Tuesday, August 9, 2011

Tanam Sawi Cara Mudah



Sawi atau nama saintifiknyaBrassica sp. berasal dari keluarga Brassicaceae. Terdapat beberapa jenis sawi yang mudah ditanam di Malaysia. Antaranya sawi hijau atauchoy sum (B.parachinensis), sawi putih atau pak choy (B.chinensis var. pekinensis Cruciferae), sawi mini atau bok choy (B.rapa chinensis), sawi bunga (B. rapa Cruciferae) dan sawi ropol.

Sawi diketahui mengandungi banyak vitamin A,B,C,E,K, karbohidrat, protein, kalsium, kalium, zat besi dan magnesium.
Ia juga sangat kaya dengan serat yang boleh membantu proses pencernaan.

Banyak juga penyakit yang boleh dihindarkan dengan mengamalkan makan sawi antaranya anemia, mengurangkan risiko penyakit barah, mengurangkan kadar kolestrol dalam darah dan mempercepatkan pembekuan darah semasa luka.


Penanaman
* Sawi sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah dengan kelembapan yang sederhana.
* Suhu yang paling sesuai antara 25 dan 35ºC.
* Keadaan yang terlalu lembap atau kekerapan hujan yang tinggi boleh menjejaskan kualiti daun sawi.
* Batas yang disyorkan berukuran satu meter lebar dan panjang bergantung pada luas kawasan.
* Batas digembur dan ditambah dengan kompos dan baja organik. Rapikan tanah sebelum menanam.
* Tanam sawi dengan biji benih sama ada ditanam terus atau disemai terlebih dahulu.
* Jika ditanam terus, tabur biji benih di atas batas selepas dicampur dengan pasir. Buat penjarangan selepas 10 hingga 14 hari ditanam.
* Bagi kaedah semaian, biji benih disemai dan disimpan di dalam rumah semaian selama lapan hingga 10 hari. Kemudian anak pokok boleh dipindahkan di atas batas.
* Selepas memindahkan anak benih, letak sungkupan (plastik silver shine, daun kering, jerami padi) di bahagian batas yang terdedah bertujuan mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.


Pengairan
* Air adalah sumber yang terpenting untuk tanaman selain cahaya matahari, karbon dioksida dan baja.
* Sawi perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan menggunakan air bebas klorin. Kekurangan air boleh membantutkan pertumbuhan tanaman.
* Pengairan boleh dilakukan sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis bergantung pada kemampuan pengusaha.
Pembajaan
* Baja organik telah disediakan di peringkat awal semasa penyediaan tanah. Itu memadai bagi pertumbuhan awal anak pokok.
* Selepas dua minggu, baja organik diberikan sekali lagi dengan anggaran antara 40 dan 50g per pokok.
* Sebelum membaja, tanah di sekeliling pokok digembur untuk meningkatkan pengudaraan akar tanaman.
* Baja ditabur di keliling pokok tetapi jauh dari batang pokok. Tutup baja dengan sungkupan.


Kawalan rumpai
* Batas tanaman perlu sentiasa dibersihkan daripada rumpai sekurang-kurangnya seminggu sekali.
* Rumpai yang tumbuh di atas batas dibuang secara manual, manakala rumpai yang tumbuh di luar batas boleh dipotong dengan mesin pemotong rumput atau sabit.
* Ada juga sesetengah petani menggunakan alat membakar rumpai. Kaedah ini bukan sahaja berkesan mematikan rumpai dan biji benihnya, ia juga boleh membunuh telur serangga perosak yang bersembunyi di dalam tanah/batas.

Perosak dan penyakit
* Antara penyakit yang biasa menyerang sawi ialah reput daun, bintik daun dan reput lembut.
* Ulat ratus, ulat pangkas dan kumbang lenting adalah antara perosak yang mudah ditemui pada pokok sawi.
n Racun organik campuran cili padi, bawang putih, pudina, serai wangi, daun kesum dan beberapa repellent yang lain boleh membantu mengurangkan serangan perosak dan penyakit sawi.
* Tanaman bergilir juga disyorkan sebagai kawalan.


Penuaian
* Sawi boleh mula dituai selepas 27 hingga 30 hari ditanam.
* Cara menuai sawi adalah dengan memotong bahagian pangkal paling hampir dengan tanah. Akar dibiarkan reput di batas.
* Cuci kotoran tanah yang melekat pada sawi dengan air bersih.
* Rendam sawi di dalam air sejuk bersuhu 5ºC untuk proses prapenyejukan selama antara lima dan 10 minit. Ia untuk mengekalkan kualiti sawi dalam tempoh yang lebih lama.
* Bungkus menggunakan plastik lutsinar yang berlubang untuk pengudaraan sawi.
* Jika disimpan dalam suhu 10ºC, ia boleh tahan selama seminggu.




Tuesday, August 2, 2011

Cara Mudah Tanam Terung Telunjuk



Terung telunjuk (Solanum sp.) dari famili Solanaceae merupakan kumpulan terung yang asli (primitif).

Ia berbentuk lonjong, hijau dengan jalur putih di bahagian bawah, bersaiz dua hingga tiga sentimeter (sm) lebar dan lapan hingga 10 sm panjang sahaja.

Terung ini mula ditemui di India dan seterusnya ke seluruh kawasan tropika.

Tidak ramai yang menggemari terung ini kerana rasanya agak sedikit pahit. Namun jika dilihat dari sudut khasiatnya, pasti ramai yang terpegun.

Terung telunjuk kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin C, serat, kalsium dan beta karoten yang baik untuk mata.

Selain dimakan sebagai sayur atau ulam, ia juga boleh dijadikan ubat.

Keseluruhan pokok dari buah, daun hingga ke akar pokok ini boleh digunakan untuk mengubati beberapa jenis penyakit, antaranya ialah asma, sakit gigi, bengkak gusi dan melegakan batuk.

Penanaman

  • Semai biji benih terung di dalam talam semaian dengan kadar satu sel atau satu biji benih.
  • Kaedah tanam terus tidak digalakkan kerana biji benih terung kecil menyebabkan peratus percambahannya jadi rendah.
  • Semaian disimpan di dalam rumah semaian atau di bawah teduhan selama empat minggu. Siram setiap pagi dan petang.
  • Sementara biji benih bercambah dan membesar di rumah semaian, batas disediakan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang bergantung pada luas kawasan.
  • Tambah kompos dan baja organik (tahi ayam berproses) semasa mengembur tanah.
  • Tutup batas dengan plastik silver shine sebagai sungkupan.
  • Selepas empat minggu disemai, anak benih boleh diubah ke batas. Jarak antara pokok yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm.
  • Bagi yang tidak menggunakan plastik 'silver shine sebagai sungkupan, gantikan dengan jerami padi atau daun-daun kering untuk menutup permukaan batas yang terdedah. Sungkupan boleh mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Pengairan


  • Tanaman perlu disiram dua kali setiap hari (pagi dan petang) kecuali hari hujan.
  • Kaedah pengairan bergantung kepada kemampuan petani sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis, titis dan sebagainya.
  • Jika kawasan penanaman mempunyai saliran air bawah tanah yang kurang baik, parit perlu dibuat. Ini kerana terung tidak sesuai dengan keadaan tanah yang terlalu lembap.

Pembajaan

  • Selepas dua minggu dipindahkan ke batas, baja pertama diberi. Gunakan baja organik yang dibeli atau baja organik buatan sendiri. Jika baja organik jenis granul (pepejal), hanya 50 g diperlukan. Jika baja organik jenis cecair, ikut pada sukatan yang telah disyorkan pada label.
  • Baja kedua diberi selepas dua minggu baja pertama. Kadar baja ditambah hingga 100 g setiap pokok.
  • Baja ketiga diberi selepas antara tiga dan empat minggu baja kedua. Kadar baja juga ditambah 120 hingga 150 g setiap pokok.
  • Kadar baja yang diberi sebenarnya bergantung pada pertumbuhan pokok itu sendiri. Jika pertumbuhan pokok terbantut atau cepat membesar, kadar baja boleh dikurangkan/dilebihkan daripada yang disyorkan.
  • Baja ditabur di sekeliling pokok, tetapi elak terkena pada batang pokok. Sebaik-baiknya baja ditutup dengan sedikit tanah atau sungkupan supaya baja boleh tahan lebih lama.

Sokongan

  • Pokok terung boleh membesar setinggi 0.5 hingga 1.0 m. Jika ditiup angin, pokok biasanya mudah bengkok dan tumbang.
  • Bagi mengelakkan kejadian ini berlaku, sokongan perlu dibuat.
  • Gunakan kayu pancang yang berukuran 1.2 sm x 1.2 sm dan panjang 1.5m (bergantung pada ketinggian pokok).
  • Cucuk kayu pancang hampir dengan pokok dan ikat batang pokok pada kayu pancang dengan tali rafia. Jika pokok tinggi, ikat pada dua bahagian batang pokok (atas dan bawah) supaya lebih kuat.


Pemangkasan

  • Pemangkasan dibuat pada cabang yang tumbuh di bahagian bawah (0.5m dari tanah) selepas sebulan ditanam. Selain daripada cabang, buang juga daun tua di bahagian bawah pokok.
  • Pemangkasan bertujuan untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik kepada pokok. bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti buah terung.
  • Sebaik-baiknya ada tiga cabang utama sahaja bagi setiap pokok.

Kawalan rumpai

  • Rumpai yang tumbuh di atas batas perlu dibuang setiap seminggu sekali untuk mengurangkan persaingan dengan tanaman.
  • Bagi rumpai yang tumbuh di luar batas, mesin rumput boleh digunakan untuk memotong rumput. Sekurang-kurangnya dilakukan dua minggu sekali.
  • Rumpai perlu dikawal kerana ada sesetengah serangga perosak menjadikan rumpai sebagai perumahnya.

Kawalan perosak dan penyakit

  • Antara serangga yang sering menyerang ialah kutu daun (afid), kumbang daun, lalat buah dan ulat pengorek buah.
  • Kawalan perosak yang boleh digunakan perangkap feromon atau yellow sticker untuk lalat buah, racun organik untuk serangga perosak yang lain.
  • Racun organik boleh didapati di pasaran atau dibuat sendiri menggunakan campuran cili padi, lada hitam, sabun, air dan beberapa jenis repellent (tanaman penghalau serangga) yang dikisar halus.
  • Selain itu, penyakit layu bakteria dan layu Fusarium juga selalu ditemui pada terung. Gabungan daun tembakau atau daun sirih, cili padi, bawang merah, air dan kapur yang dikisar halus boleh membantu mengawal penyakit tersebut.
  • Sebanyak 30 ml racun organik yang ditambah dengan 10 liter air disembur pada seluruh bahagian pokok.


Penuaian

  • Pokok terung mula mengeluarkan hasil selepas enam dan tujuh minggu dipindahkan ke batas. Potong tangkai buah lebih kurang 1sm daripada cabang pokok.
  • Tuai buah selang dua tiga kali sekali.