Tuesday, May 29, 2012

Teh Daripada Daun Sawit




TERFIKIRKAH anda daun kelapa sawit yang selama ini kelihatan tidak bernilai sebenarnya mampu menjadi bahan antioksida yang terbaik.

Daun kelapa sawit sebenarnya baik untuk meredakan penyakit kardiovaskular (pernafasan) dan mampu membantu menurunkan kadar kolestrol dan gula dalam tubuh seseorang.

Penemuan tersebut agak mengejutkan kerana selama ini daun kelapa sawit merupakan bahan buangan pertanian yang sering ditafsirkan tidak memiliki kegunaan selain dijadikan makanan ternakan.

Menurut penyelidik dari Fakulti Sains Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Suhaila Mohammed, kajian bagi mencari alternatif bahan antioksida kepada hampir 150 jenis tumbuhan akhirnya membawa mereka kepada daun kelapa sawit.

“Dalam kajian yang saya jalankan mendapati, kandungan antioksida yang dalam daun kelapa sawit mampu menurunkan kadar darah tinggi dalam haiwan yang diuji.

“Biar pun manusia tidak makan daun ini, namun ia telah lama dijadikan makanan kepada haiwan ternakan," ujarnya ketika ditemui di UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Katanya, bahan yang terdapat dalam daun kelapa sawit bukanlah agen yang terbaik namun ia memiliki potensi untuk dikomersialkan.

Hal demikian kerana daun kelapa sawit mudah diperolehi selain kos pemprosesannya juga jauh lebih murah dan mudah.

Selain mampu bertindak sebagai agen antioksida, bahan yang terdapat di dalam daun kelapa sawit juga memiliki kandungan estrogen yang baik.


Kebiasaannya bagi wanita yang baru bersalin daya ingatan mereka akan menjadi lemah berikutan semasa mengandung hormon tersebut berkurangan.

Justeru, kehadiran hormon phytoestrogen dalam daun kelapa sawit mampu meningkatkan hormon estrogen dalam tubuh badan seseorang seterusnya menstabilkannya.

Ujarnya, bahan yang terdapat dalam daun kelapa sawit tersebut juga mampu menguatkan struktur tulang.

Ujian yang dilakukan ke atas tisu haiwan juga mendapati bahan yang terdapat di dalam daun kelapa sawit mampu memelihara tisu organ selain mempercepatkan proses pemulihan tisu.

Di kenali sebagai Phytoquest, UPM bersama sebuah syarikat swasta telah mengeluarkan dua produk berasaskan daun kelapa sawit tersebut.

Pertama berbentuk uncang teh dan kedua dalam bentuk kapsul.

Bagaimanapun, kedua-dua produk itu mampu memberikan kesan yang sama cuma berbeza dari segi cara pengambilannya.

Utusan Malaysia

Thursday, May 10, 2012

Tekun Sediakan Dana RM400 juta Pinjaman Kepada 40,000 Usahawan



KUALA LUMPUR - Tekun Nasional (Tekun) menyasarkan untuk mengeluarkan pinjaman RM400 juta pada tahun ini kepada 40,000 usahawan, seiring dengan jumlah pemohonan yang terus meningkat setiap tahun, kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan.

Katanya, Tekun, yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan Tekun Nasional, telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM311.74 juta kepada 34,510 peminjam pada tahun lepas.

Tekun, satu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, bermatlamat menyediakan pembiayaan pinjaman mikro dan perkhidmatan sokongan pembangunan usahawan.

"Setakat suku pertama tahun ini, Tekun telah meluluskan permohonan pinjaman 12,886 usahawan berjumlah RM159.35 juta," katanya kepada pemberita di "Seminar Integriti dan Keutuhan Tadbir Urus Tekun Nasional" di sini hari ini.

Seminar yang bertemakan, "Berintegriti, Cekap dan Mengutamakan Pelanggan" itu dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia Datuk Seri Noh Omar.

Noh turut melancarkan prosedur baru pengurusan pinjaman Tekun, yang mana tempoh permohonan pinjaman dipendekkan kepada 21 hari berbanding 45 hari sebelum ini. Yang turut hadir ialah Ketua Persuruhjaya, Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Presiden Institut Integriti  Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh. 

Sejak penubuhannya pada 1998 hingga April tahun ini, Tekun telah mengeluarkan pinjaman RM2.072 billion kepada 214,156 peminjam, kata Abdul Rahim. 



"Selangor mencatatkan jumlah peminjam paling ramai, diikuti Terengganu dan Johor," katanya. Tekun berikrar untuk menerapkan amalan tadbir urus yang terbaik serta mencegah dan membanteras segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam melaksanakan tangggung jawab, katanya.

"Seminar ini adalah persediaan awal Tekun memeterai Ikrar Integriti Korporat (CIP)," kata Abdul Rahim sambil menyatakan bahawa seorang Ketua Pegawai  Integriti juga telah dilantik bagi mempertingkatkan integriti Tekun.

CIP adalah usahasama kerajaan, pihak kawal selia dan sektor swasta untuk menggalakkan syarikat-syarikat itu memainkan peranan mereka dalam usaha bersama membanteras rasuah. – Bernama

Wednesday, May 2, 2012

LPP: Strategi Perkukuh Usahawan Peladang



MASYARAKAT peladang di negara ini memainkan peranan yang sangat penting sebagai agen pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Ia dilihat menerusi sumbangan mereka dalam memenuhi keperluan bekalan makanan rakyat supaya sentiasa cukup serta selamat untuk dimakan.

Melengkapkan fungsi itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan antara badan yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti pembangunan komuniti pertanian berkenaan ke peringkat lebih baik.

Ketika ini, LPP yang mempunyai sebanyak 276 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Malaysia dengan keahlian seramai 778,000 orang menyasarkan objektif memperkukuh perkhidmatan mereka ke arah mengkomersial ahli peladang.

Gerakan itu selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumum kerajaan bermatlamat menggalak lebih ramai ahli Pertubuhan Peladang (PP) terlibat dalam aktiviti strategik seperti pengeluaran, pemasaran dan pemprosesan hasil-hasil pertanian.

Bagi memperkasa hala tuju tersebut, LPP telah memperkenalkan inisiatif pelan pakatan strategik untuk usahawan peladang dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).

Menurut Ketua Pengarah LPP, Datuk Arpan Shah Satu, pendekatan dan strategi itu dilihat mampu membangunkan sektor pertanian ke arah merealisasi matlamat Dasar Agro Makanan negara menjelang tahun 2020.

"Secara asasnya, pakatan ini telah bermula sejak 2002 lagi yang mana melaluinya, kita mahu menggalak para peladang terlibat dalam aktiviti pertanian moden.

"Ia merangkumi pelaksanaan rantaian secara menyeluruh meliputi pengeluaran biji benih, pengumpulan, pemprosesan, pelabelan, pembangunan industri asas tani dan pasaran eksport.


"Kita juga menggalakkan peladang mengambil peluang ini untuk bekerjasama dengan LPP kerana kita mempunyai kemudahan dan infrastruktur yang lengkap,'' katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat LPP yang baru di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Arpan Shah memberitahu lagi, selain NAFAS dan KUAT, LPP juga ada menjalankan pakatan kerjasama dengan pihak swasta daripada segi kontrak pasaran.

Menerusi cara itu, ia akan memberi jaminan daripada segi bekalan pasaran dan tawaran harga terbaik kepada para petani yang mengambil bahagian.

Sebagai contoh, sejak beberapa tahun lalu, LPP telah menjalankan usaha sama dengan pihak Nestle dalam perkhidmatan tanaman dan bekalan produk cili.

Apa yang menarik, Nestle turut terlibat dalam operasi teknikal dan khidmat nasihat secara menyeluruh bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar.

Melihat pelaksanaan pakatan strategik itu secara menyeluruh, LPP dan semua pihak terlibat akan menyediakan khidmat sokongan dan panduan kepada para peladang.

"Tumpuan kita ketika ini adalah untuk memperbanyakkan operasi ladang kontrak dan meningkatkan daya saing pengeluaran produk pertanian secara berpusat.

"Untuk itu, LPP telah mengetengahkan konsep tanaman satu negeri satu produk champion seperti nangka di Pahang, mangga di Perlis, cili di Kelantan, ikan air tawar di Selangor, jagung di Kedah, vitato di Terengganu dan ternakan ayam di Johor,'' jelasnya.

Untuk setiap produk pertanian itu, para peladang dan penternak akan didedahkan dengan amalan pertanian yang baik supaya mereka dapat melaksana dan melihat bidang tersebut dalam perspektif yang lebih luas.


Katanya, setiap ahli PPK mesti menggembeling tenaga ke arah itu dan tidak boleh melaksanakan urusan pertanian secara bersendirian.

Sementara itu, Pengurus Besar NAFAS, Ab. Rahman Ismail pula memberitahu, untuk pakatan berkenaan, pihaknya akan memberi fokus terhadap gerakan penyatuan modal dan dana di peringkat optimum.

"Menerusi sistem ini, ahli Peladang boleh melabur dan membeli saham selain membiayai projek pengeluaran pertanian milik mereka melalui dana yang disediakan NAFAS.

"Jadi, usahawan peladang kini tidak akan bergerak secara bersendirian lagi kerana mereka mempunyai kekuatan daripada segi bantuan kewangan.

"Melalui platform ini, ahli boleh menjadi usahawan untuk sesebuah projek yang dirasakan berpotensi sekali gus memperolehi keuntungan daripada pelaburan mereka dalam bentuk dividen.

"NAFAS bersama LPP juga akan berperanan sebagai bank tanah yang akan menguruskan tanah terbiar untuk pelaksanaan projek-projek pertanian,'' kata Abd. Rahman.

Di samping itu, NAFAS turut memberi fokus terhadap pembangunan modal insan dan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sektor berkenaan menerusi pemberian dana dan tanah.

Dengan segala inisiatif tersebut, NAFAS bakal melengkapkan peranannya menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Majlis Benih Negara untuk menghasilkan baka dan benih berkualiti baik.

"Adalah diharapkan menerusi pakatan strategik yang telah di atur ini, lebih ramai ahli PP akan lebih komited dan bergerak aktif untuk merancakkan sektor pengeluaran makanan negara,'' katanya.