Wednesday, March 20, 2013

Rempah Asli Istimewa Cik Nor



NIAT mereka hanya satu, iaitu mahu menghasilkan rempah yang terjamin halal bagi kegunaan saudara Islam lain.
Dan itulah yang kekal menjadi motivasi kepada pasangan Abdul Rahim Yamman, 62, dan Norisah Napiah, 57, pemilik Sumayyah Enterprise yang menghasilkan pelbagai rempah di bawah jenama Cik Nor.
Seperti tiada apa mampu mematahkan semangat mereka, pasangan itu kini ingin maju setapak lagi dengan berusaha mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi meluaskan pasaran mereka.
“Kami nak besarkan perniagaan dan tembusi pasar raya besar tapi benda paling penting adalah sijil halal. Sebelum ini kami beroperasi dari rumah sebelum mula menyewa kilang ini pada penghujung 2009.
Perbanyakkan produk Muslim

“Sudah RM40,000 pinjaman bank dibuat untuk mengubah suai premis ini mengikut spesifikasi Sirim Bhd bagi memastikan produk kami layak menerima cop halal Jakim. Insya-ALLAH kami akan menerima sijil halal dua bulan lagi,” kata Abdul Rahim.

Sumayyah Enterprise kini beroperasi di kilang satu tingkat setengah di Salak Selatan, Kuala Lumpur disewa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kilang itu mampu menghasilkan lebih 1,000 kilogram rempah setiap bulan.
"Saya mula berniaga rempah selepas suami saya pencen sebagai pegawai kerajaan pada 2006. Pada awalnya kami ambil terus rempah dari Pulau Pinang sebelum mula buat sendiri pada 2007,” kata Norisah.
Norisah berkata, dia mahu membuat rempah secara besar-besaran selepas melihat ada pihak kurang yakin dengan perniagaan rempah.

“Semasa saya sertai satu majlis di Kuala Lumpur, ada seorang wakil agensi datang dan tanya: “Apa matlamat makcik buat rempah ni?”.

“Saya jawab, saya buat rempah kerana nak pastikan orang Islam mendapat produk halal,” ceritanya yang menggunakan resipi turun temurun untuk menghasilkan rempah itu.

“Memang banyak rempah di pasaran sekarang ini mempunyai sijil halal tetapi kami mahu menambahkan rempah halal supaya pengguna mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan produk terjamin halal buatan orang Islam sendiri, dan bukan hanya produk halal dikeluarkan syarikat bukan Islam,” katanya.

Berniaga di lapan pasar tani

Selain menjadi pembekal rempah secara pukal kepada pengusaha katering atau kedai makan, Abdul Rahim dan Norisah yang menetap di Bandar Tun Razak turut menjual sendiri rempah jenama Cik Nor keluaran mereka di lapan pasar tani sekitar Lembah Klang.

“Di pasar tani, kami jual rempah mengikut gram, bukan rempah di dalam paket kerana pelanggan lebih suka begitu. Memang seronok meniaga di pasar tani, terutama apabila tahu pelajar atau diplomat Malaysia di luar negara pun akan datang beli rempah kami bila mereka balik Malaysia. 

Hubungi : 

Tel : 012-6593486 / 016-9558301
Alamat : SUMAIYYAH ENTERPRISE No. 10, Jalan 3/108, Tmn Salak Jaya, 57100, Salak Selatan, Kuala Lumpur






Telur Masin : Jenama 'Mentua' Bawa Tuah



TAIPING - Sebut sahaja telur masin, pasti terlintas di fikiran mengenai telur yang diawet dengan menggunakan garam untuk mengekalkan rasa masin dan ketahanannya.
Telur masin yang paling popular bagi masyarakat di negara ini adalah jenis telur itik kerana kuningnya yang lebih besar.

Siapa menduga, penglibatan secara sampingan dalam pemprosesan telur masin telah mengubah hidup Nur Amalina Abdullah, 33, apabila ia kini menjadi sumber mata pencarian tetap keluarganya.

Daripada bekas guru besar sekolah agama rakyat (SAR), wanita yang menetap di Taiping ini mampu menjadi usahawan berjaya dengan mampu meraih pendapatan bersih mencecah ribuan ringgit sebulan menerusi jualan telur masin.

Mula menceburkan diri dalam bidang penternakan sekitar Disember 2008 dengan modal simpanan sendiri hampur RM20,000, Nur Amalina dan suami, Hafiz Othman, 37, memulakan penternakan itik sebanyak 700 ekor dengan membina sangkar dan bilik kecil sebagai pejabat operasi.

Percubaan menjual telur mentah dan telur masin jeruk air secara kecil-kecilan di kedai berhampiran yang kurang menampakkan hasil, sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berusaha.

“Melihat keadaan itu, saya nekad untuk menghasilkan telur masin seperti sekarang, tanpa sebarang kursus mahupun latihan kemahiran, hanya aplikasi cuba dan lihat.

“Alhamdulillah, usaha itu diberkati dan kami kini sudah boleh berbangga dengan apa yang dihasilkan,” katanya.

Nur Amalina berkata, dia tidak mungkin mampu berdiri hingga ke tahap ini tanpa sokongan dan dorongan keluarga terutama suami tercinta.

Bermula dengan cabaran suami yang mahu dia mengusahakan tanah seluas hampir 2 hektar, dia mengorak langkah bergiat dalam ternakan itik.

Katanya, kebetulan lokasi tanah yang dibeli berhampiran dengan lombong, menyebabkan aturan perancangannya berjalan lancar untuk menternak itik.

“Pada mulanya kami membeli tanah ini untuk tujuan penanaman sawit, namun melihat keadaan persekitaran lokasi kurang sesuai, saya mengambil keputusan untuk menternak itik,” katanya.

Kalau sudah namanya rezeki, tidak ke mana. Itu gambaran tepat dapat diberikan kepada syarikat kendalian Nur Amalina ini.

Meskipun terpaksa berhempas pulas menyaipkan kertas kerja dan dihantar pada hari terakhir tarikh tutup penyertaan, ternyata ianya berbaloi.

Nur Amalina berkata, penyertaannya dalam Pertandingan Pelan Perniagaan Luar Bandar (RBC), Ogos lalu adalah atas dorongan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang melihat potensinya untuk maju.

Dinobatkan sebagai pemenang dengan meraih hadiah geran bernilai RM2 juta, ia diibaratkan sebagai hadiah paling bermakna buat Mentua Enterprise yang baru mencecah usia enam tahun.

“Kemenangan ini menjadikan impian kami bakal direalisasikan, selain menambah baik sangkar sedia, saya juga berhasrat untuk membina bengkel pemprosesan makanan dan telur masin secara lebih komiersial,” katanya.

Memasuki fasa ketiga penternakan, Mentua Entreprise kini memiliki hampir 2,500 ekor itik dan dijangka jumlah itu bakal meningkat menjelang akhir tahun ini untuk menghasilkan sasaran pengeluaran telur  tiga juta setahun.

Bermula dengan 500 hingga 600 pengeluaran telur masin sehari, Mertua Enteprise kini sudah boleh tersenyum bangga apabila  mampu menghasilkan 1,600 telur masin dalam tempoh sama.

Selaras dengan peningkatan berganda itu, lokasi jajahan bagi pemasaran telur masin juga semakin luas.

Jika sebelum ini, pasaran hanya dibuat sekitar Ipoh dan beberapa pasar berdekatan, kini boleh dikatakan hampir seluruh pemborong Kuala Lumpur dan Lembah Klang memilih telur masin keluaran syarikatnya.

Nur Amalina mengakui, jaminan kualiti yang diberikan disamping kesediaan menerima pemulangan semula produk yang ditawarkan kepada pemborong menjadi sebab utama, telur masin keluaran syarikatnya mudah menembusi pasaran sedia ada.

“Saya sangat mengutamakan kualiti, jika ada rosak atau retak pada telur, biarpun sedikit, kita akan pastikan ia tidak digunakan untuk penghasilan telur masin ini.

“Bagi saya, jika kita mahu pergi jauh, kualiti adalah prinsip utama yang perlu dipegang,” katanya.

Dengan sokongan padu kerajaan dalam bidang pertanian dan penternakan, Nur Amalina memasang harapan tinggi untuk melihat perusahaannya berkembang maju.

Selain telur masin, anak ketiga daripada 11 beradik ini juga sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan kaya, bahulu dan kek berasaskan telur itik.

Langkah itu diyakini mampu menjadi pencetus kepada hasrat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Insya-ALLAH, kami sedang berusaha ke arah itu dan dalam tempoh satu atau dua tahun ini  mungkin akan terlaksana," katanya.


Mahu menempah ?

Tel : 019-571 2197 Pn. Nuramalina

Friday, March 8, 2013

MeSTI Jamin Makanan Selamat



Kementerian Kesihatan menyasarkan 400 hingga 500 pengusaha Perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) akan menyertai skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) tahun ini selepas pelancarannya, semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, MeSTI adalah skim keselamatan makanan yang direka khusus untuk membantu pengusaha PKS mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan.


“Dengan adanya skim ini, lebih mudah untuk PKS mendapatkan sijil bagi menjamin dan meningkatkan mutu makanan agar lebih berdaya saing bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi juga di pasaran antarabangsa.


“Kementerian juga akan mempromosikan skim dan logo MeSTI sebagai jenama berwibawa bagi meyakinkan pengguna terhadap tahap kebersihan dan keselamatan produk makanan,” katanya majlis pelancaran skim itu di Kuala Lumpur.
Sejak skim itu dibangunkan Julai lalu, sebanyak 337 PKS dalam industri makanan telah memperoleh sijil halal MeSTI.


Tiong Lai menambah, skim itu juga boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk PKS meningkatkan sistem jaminan keselamatan makanan kepada tahap yang memenuhi piawaian antarabangsa seperti pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP) atau Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

“Kita juga telah perkenalkan Peraturan Keselamatan Makanan 2009 untuk memastikan sistem kawalan keselamatan makanan negara berada di tahap tinggi selaras perkembangan global. Peraturan ini merangkumi kawalan kebersihan premis, pemprosesan makanan dan kebolehkesanan makanan bagi memudahkan penarikan semula makanan berisiko,” katanya.

Skim MeSTI melibatkan kerjasama dengan program pensijilan agensi lain seperti skim 1Malaysia Best oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Skim Halal oleh  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan skim Penyenaraian Persaingan PKS  Untuk Perkembangan (SCORE) oleh SME Corporation Malaysia.