“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’- peribahasa ini tepat sekali diberi kepada petani, Mohd Yaakub Nuri, 48, bagi menggambarkan hubungan erat di antaranya dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Dia yang biasa berurusan dengan Fama bagi menguruskan tanaman jagungnya, menyahut cabaran dan seruan dari Fama untuk mencuba satu tanaman baru iaitu Apollo Melon sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (Maha) 2012.
“Pada waktu itu, ada seorang pegawai Fama datang jumpa saya dan menawarkan untuk menanam Apollo Melon untuk diperkenalkan ketika Maha 2012 berlangsung.
“Ketika itu, Fama berjanji untuk membeli hasil tuaian buah tersebut dengan harga RM1.80 sekilogram (kg),” katanya pada InfoAgro ketika ditemui di Sekinchan, baru-baru ini.
Menurutnya, pada awalnya, dia menolak tawaran tersebut kerana harga yang dijanjikan terlalu murah.
“Jika harga sedemikian yang ditawarkan, baik saya tanam tembikai susu. Harga sekilogram tembikai susu mencecah RM2.50. Sudah tentu ia lebih menguntungkan,” jelasnya.
Namun begitu, katanya, setelah berfikir sekian lama, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menyahut cabaran tersebut.
Sebab Fama, saya sahut cabaran ini. Lagipun kita bukan kira nak untung saja. Satu hari orang tolong kita, nanti giliran kita pula tolong orang,” senyumnya.
Selain itu, tambahnya, pihak Fama juga menjamin harga bagi setiap keluaran Apollo Melon.
“Fama berjanji sekiranya saya tidak dapat jualan dalam RM2,000, Fama menjamin untuk ‘membayar balik’ hasilnya. Lagipun ini adalah projek kerajaan dan tanaman Apollo Melon itu memang khas untuk Maha 2012,” katanya.
Perlu diperam
Mohd Yaakub berkata, setelah menyahut cabaran tersebut, dia memulakan tanaman Apollo Melon di atas tanah seluas 0.6 hektar di Parit 9, Sungai Leman, Sekinchan, Kuala Selangor.
“Saya tanam pada September 2012 dan mula menuai dua bulan kemudian,” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya, tanaman Apollo Melon tersebut ‘ditanam terlalu awal’ dan menyebabkan ia dituai seminggu sebelum Maha 2012 bermula.
“Keadaan tersebut menyebabkan Fama tidak jadi untuk membeli hasil tuaian Apollo Melon. Oleh itu, bagi mengelakkan kerugian, saya menjual sendiri buah tersebut kepada peraih dengan harga RM3 sekilogram,” katanya.
Menurutnya, dia mendapat hasil tuaian Apollo Melon itu kira-kira dua hingga tiga tan dan tidak menyangka buah tersebut mempunyai permintaan tinggi walaupun baru diperkenalkan.
“Buah ini antara yang paling sedap. Tetapi cara makannya, perlukan sedikit masa kerana buah ini perlu diperam terlebih dulu.
“Kita tidak menggalakkan untuk makan secara terus selepas dipetik. Jika terus dimakan, rasanya seperti buah lai kerana kandungan buahnya yang tiada gula lagi dan agak ‘keras’,” jelasnya.
Tambahnya lagi, jika diletakkan Apollo Melon selama 10 hari di kedai-kedai runcit atau pasar borong, rasa dan kemanisan buah tersebut akan bertambah sedap dan lazat.
“Semakin lama buah tersebut diperam, semakin sedap rasanya. Isinya menjadi semakin lembut dan manis kerana kandungan gulanya terkumpul selepas lima atau enam hari dipetik,” katanya.
Tanaman Apollo Melon
Kini, Mohd Yaakub sedang menuai bagi tanaman Apollo Melon fasa kedua yang diusahakannya itu.
Menceritakan mengenai tanaman itu, dia berkata, Apollo Melon mengambil masa selama 55 hari sebelum dituai.
“Tempoh masa tuaian bagi buah ini lagi cepat berbanding tembikai susu yang mengambil masa 65 hari dan rock melon iaitu 75 hari,” katanya.
Katanya, biji benih diperoleh dari Taiwan dan mula popular di Indonesia.
“Tetapi, biji benihnya agak mahal yang mana sebiji berharga 40 sen. Sepeket dalam RM200 untuk 600 biji benih. Semasa mula-mula keluar dulu, harganya lagi mahal iaitu dalam RM240,” jelasnya.
Menurutnya, penanaman Apollo Melon tidaklah terlalu rumit dan memerlukan jenis tanah lempung berpasir yang banyak mengandungi bahan organik serta dilimpahi sinar matahari sepanjang tahun.
“Jenis tanah ini memudahkan akar tanaman berkembang dan menyerap haba dari tanah serta memerlukan bekalan air yang mencukupi,” katanya.
Tambahnya lagi, Apollo Mellon memiliki karakter yang sama dengan Golden Melon.
“Warna kulitnya kuning keemasan dan tidak berjala. Isi buahnya renyah, manis dan tebal serta saiz buahnya yang besar dan mampu mencapai sehingga 2kg berat,” katanya.
Oleh kerana warna kulitnya kuning keemasan, Mohd Yaakub berkata, tumbuhan tersebut menarik minat serangan lalat buah.
“Makhluk perosak seperti lalat buah kuat menyerang buah ini lantaran warnanya yang terang. Masa bila dia serang, saya pun tidak tahu.
“Tahu-tahu apabila buah ini digoncang dan ia berair bagaikan buah kelapa dan di dalamnya berair. Apabila dibelah, ia bocor dan mengeluarkan bau busuk,” jelasnya.
Bagi mengatasi masalah serangan makhluk perosak tersebut, dia menyembur racun serangga sebanyak dua kali seminggu.
Dalam pada itu, dia berharap Apollo Melon ini dapat diperkenalkan pada semua masyarakat Malaysia dan menjadi sama terkenal seperti buah tembikai lain.
“Selama ini, ramai yang kenal buah rock melon saja dan dalam masa sama kita hendak menggalakkan petani lain menanam Apollo Melon.
“Apa yang saya tahu, jika di Malaysia, tanaman buah ini hanya terdapat di Kelantan dan buat masa ini saya sahaja yang mengusahakan tanaman Apollo Melon di Selangor,” katanya.
Selain itu, dia juga merancang untuk menanam Apollo Melon fasa ketiga pada pertengahan April ini di kawasan ‘green house’ yang dibinanya di Fasa 2, Parit 9, Sungai Leman, Sekinchan.
“Green house tersebut berkeluasan 40 kaki X 90 kaki mampu memuatkan hampir 700 pokok,” katanya.