Wednesday, August 22, 2012

Serunding Daging Paksu Harun Tembusi Pasaran Arab Saudi



TUMPAT - Serunding daging Harun Hassan, yang lebih dikenali sebagai Paksu Harun bukan sahaja terkenal di negeri ini, tetapi juga di Sabah dan Sarawak, serta Arab Saudi.
Harun, 63, yang meneruskan perniagaan Allahyarham bapanya Hassan Yusof pada tahun 1990 dengan modal pusingan RM5,000, kini mengeluarkan serunding menggunakan 150 kilogram daging sehari.
"Ia amat laris dan digemari oleh jemaah haji di Makkah. Malah ada peniaga dari Kuala Lumpur yang membeli secara kontrak serunding saya setiap musim haji untuk dihantar ke Arab Saudi," katanya kepada Bernama.
Malah serundingnya yang dihasilkan dengan tenaga lapan pekerja, termasuk dibantu isterinya Che Gayah Wan Yusoff, 60, dan anak-anak, masih enak dimakan walaupun setelah enam bulan dihasilkan.
Harun berkata beliau menghasilkan beberapa jenis serunding termasuk serunding daging lembu tempatan dan import, ayam dan ikan.
"Serunding daging tempatan dijual dengan harga RM50 sekilo, daging import RM40, serunding ayam RM48 dan serunding ikan RM30," katanya dan menambah, serunding ayam mendapat sambutan menggalakkan daripada kaum Cina.
"Yang paling laris ialah serunding daging tempatan kerana rasanya lebih sedap," katanya yang pernah mencuba membuat serunding menggunakan daging rusa.
"Daging rusa memang lebih sedap, tapi bahannya sukar selain harganya tinggi," katanya.
Beliau berkata selain dimakan dengan lemang, serunding juga sedap dimakan dengan laksa, laksam, nasi dan pulut.
Harun yang sebelum ini bertugas sebagai guru tari secara kontrak dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan, berkata antara ramuan penting serundingnya ialah santan kelapa, bawang merah dan bawang putih, halia, lada kering, ketumbar, gula dan garam.
Malah proses menyiapkan serunding daging ini mengambil masa tujuh hingga lapan jam, dan serunding yang diperbuat daripada daging import mengambil masa lebih lama kerana terpaksa direndam dahulu untuk dinyahbekukan, katanya.
Harun berkata apa yang menimbulkan masalah bagi perusahaannya ialah harga daging yang meningkat, terutama di musim perayaan apabila daging lembu tempatan harganya mencecah sehingga RM22 sekilogram, berbanding RM18 atau RM20 sebelum ini.
"Harga daging import turut naik daripada RM220 sekotak mengandungi 20 kilogram kepada RM247," katanya.
Harun berkata selain mengusahakan sendiri serundingnya, beliau juga dilantik menjadi guru pembimbing bagi pengusaha baru yang ingin berkecimpung dalam bidang itu di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), di rumahnya.
"Saya pernah membuat kursus untuk ibu tunggal yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan dan saya sendiri menjadi tenaga pengajar," katanya.
Harun berkata sejak mengambil alih tugas bapanya yang meninggal dunia 45 tahun lalu, perusahannya bertambah maju terutama selepas mendapat bantuan dan bimbingan Kada, di bawah Unit Kada Industri.
Beliau menjadikan rumahnya sebagai kilang dan pusat pembungkusan produknya.
Pada bulan puasa ini, serunding daging mendapat sambutan menggalakkan hingga tidak cukup bekalan untuk menampung permintaan pelanggan, katanya.- Bernama

No comments: