Showing posts with label IAT. Show all posts
Showing posts with label IAT. Show all posts

Tuesday, July 19, 2011

Kerajaan Henti Beri Geran Penuh

TANJONG KARANG 18 Julai - Kerajaan menghentikan pemberian geran bantuan kewangan penuh kepada peserta program perniagaan Industri Asas Tani (IAT) di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, sebaliknya hanya peserta program IAT yang telah memulakan perniagaan layak diberikan sebahagian daripada geran berkenaan.

Beliau menegaskan, dasar tersebut bagi memastikan usahawan industri asas tani lebih komited dalam perniagaan yang diceburi.

"Kementerian hanya akan memberi sebahagian bantuan kewangan kepada peserta terlibat dari segi modal untuk membesarkan perniagaan, pembelian mesin dan sebagainya.

"Sebahagian lagi peruntukan kewangan untuk tujuan itu akan ditanggung oleh peserta berkenaan melalui pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Majlis Pembangunan Pertanian (MPP) Kawasan Tanjong Karang di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPP Kawasan Tanjong Karang, Datuk Shamsuddin Lias dan lebih 400 peserta IAT bagi kawasan berkenaan.
Menurut Noh, perubahan dasar yang membabitkan penerima geran IAT itu bukan bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak yang ingin memajukan perniagaan mereka.

Ini kerana, beliau berkata, kerajaan masih lagi meneruskan pemberian bantuan kewangan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan industri asas tani.

"Sehingga kini, kerajaan tetap memberi bantuan kewangan RM2,000 kepada peniaga layak tanpa bayaran balik," katanya.

Menjelaskan tentang perubahan dasar berkenaan, Noh berkata, jika peserta program IAT memohon bantuan RM20,000, kerajaan meluluskan sebanyak 80 peratus daripada jumlah tersebut manakala selebihnya perlu ditanggung oleh peserta berkenaan.

"Sekiranya mereka memohon geran melebihi RM100,000, kerajaan akan berikan geran pada kadar 60 peratus dari jumlah tersebut dan 40 peratus lagi akan ditanggung oleh pemohon," katanya.

Friday, July 15, 2011

Tips Hasilkan Baja Kompos

KOMPOS adalah bahan yang kaya dengan nutrien atau humus hasil daripada proses pereputan dan penguraian bahan organik oleh organisma tertentu.

Proses tersebut boleh berlaku dengan sendirinya seperti dalam hutan (pereputan lambat) atau dengan bantuan manusia supaya aktiviti pereputan berlaku dengan lebih cepat.

Kehadiran organisma yang banyak seperti cacing, kulat, bakteria, larva kumbang dan sebagainya akan membantu mempercepatkan proses pereputan kompos.

Organisma ini boleh hadir secara semula jadi atau dengan bantuan manusia seperti penambahan EM (effective microb).

Kompos biasanya digunakan dalam bidang pertanian, landskap, hortikultur dan juga taman-taman bunga.

Ia memberikan berbagai-bagai faedah antaranya sebagai perawat tanah semulajadi, baja sampingan, humus tambahan dan juga sebagai racun semulajadi di dalam tanah.

Kompos mampu dihasilkan sendiri kerana cara membuatnya sangat mudah. Selain faedah kompos yang pelbagai guna, secara tidak langsung kita juga dapat mengurangkan masalah lambakan sampah di negara ini.

Fungsi

  • Meningkatkan dan mempertahankan kesuburan tanah dengan memperbaiki sifat kimia, sifat fizik dan sifat biologi tanah.
  • Menggembur dan menambah bahan organik ke dalam tanah.

  • Meningkatkan daya serapan air dan mineral dlm tanah sehingga

  • Membekalkan sumber makanan kepada mikroorganisma dalam tanah bagi membolehkan mikroorganisma bergerak lebih aktif.

  • Membolehkan tanah mempunyai pH yang sesuai untuk tanaman.

  • Membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan menukarkan sampah sarap kepada bahan yang lebih berguna.

  • Boleh menjadi medium semaian biji benih tanaman

  • Air kompos boleh dijadikan baja foliar dan disembur terus pada tanaman.


Keperluan asas membuat kompos

  • Karbon (C) sebagai sumber tenaga untuk aktiviti mikrob yang akan menghasilkan haba. Contoh bahan sumber C ialah jerami padi, habuk papan, rumput/daun kering, tongkol jagung dan lain-lain.
  • Nitrogen (N) untuk pertumbuhan dan pembiakan mikroorganisme yang terlibat. Contoh sumber N ialah bahan tanaman yang masih segar seperti daun pangkasan dan rumput yang masih hijau, kulit buah-buahan, sisa serbuk teh, kopi, sisa ternakan, sisa tulang, kulit telur dan sisa sayuran.
  • Oksigen perlu untuk pengoksidaan C oleh mikroorganisme.
  • Air diperlukan untuk mengekalkan kelembapan bahan kompos supaya aktiviti mikrob tidak terganggu. Antara 60 dan 70 peratus kelembapan adalah yang paling sesuai untuk mikrob.
  • Elak kekurangan oksigen dan kelembapan yang berlebihan kerana ini akan menggalakkan aktiviti anaerobik. Aktiviti anaerobik akan mengeluarkan bau yang busuk.

Tips membuat kompos

  • Nisbah kuantiti yang disyorkan antara sumber C dan N yang disyorkan ialah 30:1. Jika terlalu banyak sumber C, proses pereputan akan berlaku sangat perlahan, manakala jika berlebihan sumber N, kompos yang terhasil berbau busuk.
  • Kerap membalik-balikkan kompos untuk pengudaraan kepada mikroorganisme. Ini membolehkan proses pereputan berlaku lebih cepat. Mana-mana bahagian yang kering/kurang lembab, siram air untuk kekalkan kelembapan kompos.
  • Kekalkan kelembapan kompos supaya aktiviti mikrob lebih efisien. Peratus kelembapan yang sesuai ialah antara 60 dan 65 peratus.
  • Susun semua sumber C dan N secara berselang-seli untuk mempercepatkan proses pereputan.
  • Potong bahan yang bersaiz besar atau keras kepada saiz yang lebih kecil. Lebih besar permukaan bahan terdedah, akan lebih mudah proses pereputan berlaku.
  • Tambah jumlah mikroorganisma yang efektif seperti EM yang boleh didapati di pasaran. Ini akan membantu mempercepatkan lagi proses pereputan dan secara tidak langsung akan menyuburkan tanah.
  • Jika ada, tambah tanaman jenis kekacang kerana ia kaya dengan nitrogen yang mampu menambahkan lagi kuantiti mikrob dalam kompos.

Jangka masa membuat kompos

  • Biasanya kompos akan matang dalam masa antara empat dan enam bulan. Namun ada juga yang boleh mencapai hingga setahun atau lebih.
  • Tempoh matang sebenarnya bergantung kepada dua faktor iaitu:

  1. Bahan yang digunakan untuk membuat kompos. Jika banyak bahan bertekstur keras seperti ranting tanaman, masa yang diambil untuk mereput lebih lama.
  2. Kuantiti bahan. Jika banyak bahan, proses pereputan mengambil masa yang lebih panjang.

Ciri-ciri kompos yang matang

  • Berwarna gelap seperti tanah
  • Tidak berbau
  • Semua bahan yang digunakan sudah tidak dapat dikenalpasti
  • Tekstur yang lembut dan ringan
  • Daya penyerapan air tinggi

Alat membuat kompos

  • Kompos boleh dibuat dengan berbagai cara. Antara yang biasa dan mudah dilakukan ialah cara timbunan.
  • Selain itu ada pelbagai jenis alat yang direka khas untuk membuat kompos seperti aerobin,compost tumblerrotocomposter dan mantis compost-Twin composting bin.
  • Setiap alat ini bertujuan mempermudahkan kita membuat kompos sendiri di rumah.

Monday, July 4, 2011

Tips Hasilkan Baja dan Racun Organik



PERTANIAN organik adalah satu kaedah penanaman yang tidak menggunakan baja kimia atau racun. Namun setiap tanaman tetap memerlukan baja sebagai sumber makanan dan juga sering diserang oleh serangga perosak dan penyakit.

Terdapat dua jenis baja organik iaitu baja organik buatan kilang dan baja organik buatan sendiri.

Baja organik mudah didapati di pasaran sekarang berbanding sebelum ini kerana ramai orang telah sedar kebaikan pertanian organik.

Selain itu, baja organik juga boleh dibuat sendiri di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling kita.

Ini sangat sesuai bagi petani yang ingin mengurangkan kos dan tidak terlalu bergantung kepada produk baja organik di pasaran.

Sama seperti baja organik, racun organik juga boleh diperoleh dengan mudah di pasaran.

Ia juga boleh dibuat sendiri dan prosesnya sangat mudah. Kita hanya perlu memilih sama ada membeli atau membuatnya sendiri.

Selain daripada racun organik, kita juga boleh menggunakan tanaman penarik atau penghalau serangga (repellent).

Baja organik
* Baja organik adalah berbeza mengikut kadar unsur di dalamnya. Ada baja organik yang kaya dengan unsur N, P atau K.
* Baja organik N adalah campuran bahan organik (tahi ayam kering), gula perang (molasses), bahan aktif mikroorganisme efektif (EM) dan air bersih yang diperam selama antara empat dan lima hari. Selepas itu, baja boleh disiram pada batas dan tanaman.
* Baja organik P adalah campuran batang pisang, kulit buah-buahan dan air kelapa muda yang diperam selama dua minggu.
- Baja organik K pula boleh dibuat dengan mencampurkan sabut kelapa dan air dan dibiarkan selama dua minggu.
* Kulit telur dan sisa tulang juga boleh dijadikan baja. Kedua-dua bahan tersebut dibakar dan ditumbuk lumat.
- Serbuk yang terhasil ditambah dengan air dan direndam selama antara tiga dan empat hari. Siram pada tanaman yang baru mula berbunga.

Hormon Pertumbuhan Semulajadi
* Terdapat dua jenis baja hormon yang juga boleh dihasilkan sendiri iaitu fermented fruit juice (FFJ) dan fermented plant juice (FPJ).
 - FFJ adalah campuran buah-buahan yang manis (betik, mangga, nangka, jambu) dan gula perang . Tambah sedikit air dan diperam selama antara lima dan tujuh hari hari. Cecair yang terhasil kaya dengan unsur P dan K.
 - FPJ pula adalah campuran tumbuhan (rumput, sisa sayuran, sisa pangkasan), gula perang dan sedikit air bersih, dibiarkan selama lima hingga tujuh hari. Hormon ini kaya dengan unsur N.
  - Tapis untuk mengasingkan cecair dan juga hampas. Hampas jangan dibuang tetapi ia boleh dijadikan kompos.
Penghalau serangga (repellent)
n Tumbuhan repellent ini biasanya mempunya bau yang kuat. Bau yang dihasilkan oleh tumbuhan itu sebenarnya yang menghalau serangga perosak.
 - Beberapa contoh repellent iaitu serai wangi, kesum, kemangi, selasih, daun kari, limau purut, pandan, daun bawang, kucai, ketumbar, marigold, pudina dan sebagainya.
 - Manakala tumbuhan yang boleh menarik serangga perosak ialah lobak putih, markisa, bunga Tunera dan jagung manis.
 - Pokok repellent boleh ditanam di sekitar batas tanaman. Sebaik-baiknya tanam di bahagian angin sering bertiup supaya
angin boleh menyebarkan bau pokok repellent ke seluruh kawasan penanaman.
 - Selain itu, pokok repellent juga boleh dipangkas dan dipotong kecil untuk ditabur di atas batas. Potongan repellent akan mengeluarkan bau yang tidak disukai serangga perosak.
- Dan kaedah terakhir, semua daun pokok repellent boleh dicampurkan dan dikisar halus dengan sedikit air dan sabun. Cecair yang terhasil boleh disembur pada tanaman untuk kawalan serangga perosak.