Tuesday, July 26, 2011

Tips Tanam Kangkung



Kangkung (Ipomoea aquatic) tergolong dalam famili Convolvulaceae adalah berasal dari India. Di negara Cina, kangkung dikenali sebagai weng cai.

Di negara barat pula, kangkung biasa disebut swamp cabbage,water convolvulus, atau water spinach.
Kangkung terbahagi kepada dua jenis iaitu kangkung darat dan kangkung air.

Perbezaannya boleh dilihat pada bentuk daun, batang dan warna bunga. Kangkung darat berdaun tirus, batang berwarna hijau cerah dan bunga putih.

Manakala kangkung air pula berdaun agak lebar, batang lebih besar dan hijau tua, bunga kemerah-merahan.

Kangkung darat boleh ditanam di batas seperti sayur lain, tetapi kangkung air hanya hidup di kawasan yang berair.

Terdapat banyak khasiat pada kangkung, antaranya sebagai antitoksik, sedatif, antiradang, deuratik dan boleh menyejukkan badan. Kangkung juga kaya dengan vitamin A, B, C, protein, fosforus dan karoten.


Penanaman
nKangkung boleh dibiakkan dengan dua kaedah iaitu biji benih (kangkung darat) dan vegetatif bagi kangkung air (keratan batang yang berakar).

-Biji benih kangkung tidak perlu disemai kerana ia besar dan mudah hidup jika ditanam terus di atas batas.

-Batas disediakan selebar satu meter (m) dan panjang bergantung pada kawasan dan tujuan penanaman. Semasa menggembur tanah, tambah bahan organik sebagai baja permulaan dan menyuburkan tanah.- Setiap satu meter lebar , empat alur boleh terhasil kerana jarak yang disyorkan antara alur ialah 20sm.

-Biji benih ditabur jarang-jarang di dalam alur.- Sungkupan seperti jerami padi diletakkan di permukaan batas yang terdedah untuk kawalan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah.- Selepas antara tiga dan empat hari, biji benih akan bercambah.- Kaedah menanam kangkung air pula, batang kangkung yang telah berakar dipotong sepanjang antara lima dan lapan sentimeter.

Kemudian cucuk batang kangkung yang berakar secara mencondong di kawasan tanah lembap dan berair.

Pengairan
~ Kangkung perlu air yang agak banyak. Keadaan tanah yang kering dan cuaca terlalu panas tanpa air boleh membantutkan pertumbuhan kangkung sekali gus menurunkan kualitinya.

~ Siram air setiap dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan.

Pembajaan
~ Semasa menyemai, sedikit baja organik telah digaul semasa penyediaan batas. Kadar itu cukup bagi kangkung yang baru membesar.

~ Baja kedua akan diberi pada minggu kedua selepas menanam. Baja organik jenis butir boleh ditabur di sepanjang setiap alur. Anggaran antara 40 dan 50 gram bagi setiap pokok.

~ Bagi yang suka menggunakan baja organik bentuk cecair, sembur baja sekali setiap minggu di waktu pagi.


Kawalan rumpai
~ Rumpai perlu sentiasa dikawal untuk elak persaingan (makanan dan cahaya) dengan tanaman.

~ Merumpai di atas batas secara manual, potong rumpai di luar batas dengan sabit atau mesin pemotong rumput.

Kawalan serangga perosak
~ Kangkung jarang diserang oleh perosak atau penyakit. Namun sesekali ada juga serangga perosak yang mengganggu pertumbuhannya.

~ Kepinding dan penyakit karat putih biasa ditemui pada pokok kangkung.

~ Membuat penggiliran tanaman boleh membantu mengawal penyakit tersebut.

~ Kepinding pula mudah dikutip dan dibuang.


Tuesday, July 19, 2011

Kerajaan Henti Beri Geran Penuh

TANJONG KARANG 18 Julai - Kerajaan menghentikan pemberian geran bantuan kewangan penuh kepada peserta program perniagaan Industri Asas Tani (IAT) di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, sebaliknya hanya peserta program IAT yang telah memulakan perniagaan layak diberikan sebahagian daripada geran berkenaan.

Beliau menegaskan, dasar tersebut bagi memastikan usahawan industri asas tani lebih komited dalam perniagaan yang diceburi.

"Kementerian hanya akan memberi sebahagian bantuan kewangan kepada peserta terlibat dari segi modal untuk membesarkan perniagaan, pembelian mesin dan sebagainya.

"Sebahagian lagi peruntukan kewangan untuk tujuan itu akan ditanggung oleh peserta berkenaan melalui pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Majlis Pembangunan Pertanian (MPP) Kawasan Tanjong Karang di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPP Kawasan Tanjong Karang, Datuk Shamsuddin Lias dan lebih 400 peserta IAT bagi kawasan berkenaan.
Menurut Noh, perubahan dasar yang membabitkan penerima geran IAT itu bukan bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak yang ingin memajukan perniagaan mereka.

Ini kerana, beliau berkata, kerajaan masih lagi meneruskan pemberian bantuan kewangan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan industri asas tani.

"Sehingga kini, kerajaan tetap memberi bantuan kewangan RM2,000 kepada peniaga layak tanpa bayaran balik," katanya.

Menjelaskan tentang perubahan dasar berkenaan, Noh berkata, jika peserta program IAT memohon bantuan RM20,000, kerajaan meluluskan sebanyak 80 peratus daripada jumlah tersebut manakala selebihnya perlu ditanggung oleh peserta berkenaan.

"Sekiranya mereka memohon geran melebihi RM100,000, kerajaan akan berikan geran pada kadar 60 peratus dari jumlah tersebut dan 40 peratus lagi akan ditanggung oleh pemohon," katanya.

Tanaman Harumanis Diperhebat


BENTUK dan rupanya cukup menggiurkan. Aromanya pula pasti menawan hati sesiapa saha dan akan membuka selera untuk menikmatinya.

Itulah kehebatan harumanis, sejenis mempelam dari Perlis yang kini menjadi kegilaan atau menimbulkan keghairahan ramai tidak kira di mana sahaja.

Sama ada di makan begitu sahaja atau dihidang bersama pulut, keenakan harumanis tetap memukau.

Sebab itu ia menggamit kehadiran ramai ke Perlis walaupun musimnya hanya sekali dalam setahun.

Musimnya pula cukup singkat. Hanya sebulan atau sebulan setengah dalam setahun. Sebab itu ia membuatkan ramai yang tidak sabar malah sanggup berebut-rebut untuk mendapatkan harumanis.

Walaupun musimnya kali ini baru sahaja berakhir, ramai masih bertanyakan tentang harumanis khususnya di kalangan penduduk luar negeri Perlis.

Faktor tersebut juga menyebabkan pengeluaran dan pasaran harumanis sentiasa tidak mencukupi setiap tahun sehingga membuatkan agensi terlibat memikirkan langkah tertentu untuk menampung permintaannya yang tinggi.

Bagi tahun ini, segala-galanya bermula pada penghujung April sehingga Jun apabila orang ramai ‘berpesta’ meraikan kedatangan harumanis yang sekali gus menyebabkan harganya meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri Perlis, Sabry Ahmad mempunyai jawapan mengenai keistimewaan harumanis yang kini bukan sahaja digemari di dalam negeri malah ‘menyeberangi’ lautan sehingga ke Jepun.

Beliau menjelaskan, seindah namanya, mempelam tersebut cukup manis dan enak dimakan jika ia masak cukup tempohnya atau setelah mengeluarkan aroma yang harum.
“Apabila ia mengeluarkan aroma yang harum, mempelam ini sudah boleh dimakan. 

Disebabkan rasanya yang manis itulah antara faktor ia digelar harumanis.
“Selain itu, keunikan harumanis ialah kerana kulitnya tetap hijau walaupun sudah masak. Ia tidak boleh dimakan sewaktu masih muda atau dibuat jeruk kerana rasanya akan menjadi masam,” jelasnya.

Pada tahun lalu, Perlis mengeluarkan kira-kira 244 tan metrik harumanis yang bernilai RM 1.17 juta meliputi tanaman di kawasan seluas 257.9 hektar.
“Musim ini pengeluaran harumanis sebanyak 400 tan metrik dengan setiap tahun dirancang pertambahan pengeluaran sebanyak 200 hektar setahun,” tambah beliau.

Walaupun pengeluarannya meningkat, namun masih belum mencukupi untuk menampung permintaan.

Bayangkan belum pun habis musim, harumanis yang dijual di Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat sudah kehabisan stok.

“Begitu juga dengan hasil tanaman pengusaha harumanis di Perlis masih gagal menampung keperluan semasa yang kian meningkat saban tahun,” tambah beliau.

Saiz negeri yang kecil, hanya berkeluasan 810 kilometer persegi atau 81,713.90 hektar, tentulah agak sukar untuk menambah kawasan penanaman harumanis.

Justeru, tenaga pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) digembleng untuk mencari kaedah mengatasi kekurangan harumanis setiap tahun.

Antara pilihan ialah mempergunakan seluas-luasnya kawasan penanaman di samping menggalakkan penduduk negeri paling kecil di Malaysia itu sekurang-kurangnya menanam sepohon harumanis.

“Ladang-ladang terbiar dipulihkan. Pokok-pokok yang tidak berhasil ditebang untuk ditanam semula dengan harumanis bagi meningkatkan pengeluaran.
“Kerajaan negeri memperuntukan RM1.8 juta setahun untuk membangunkan industri harumanis dengan sasaran tanaman seluas 1,000 hektar menjelang 2015,” kata beliau.

Begitu juga dengan penjagaan tanaman harumanis, Jabatan Pertanian memperkenalkan pembalut khas yang diimport bagi menjaga kualiti buahnya.
“Memang buah yang mula keluar dari pokok akan dibalut. Lazimnya dengan kertas suratkhabar. Tetapi ia lebih berkualiti jika dibalut dengan pembalut khas yang dipasarkan oleh Jabatan Pertanian.

“Pembalut baru ini mempunyai lapisan dalam gelap, di hujungnya pula tersedia dengan dawai bagi memudahkan petani mengikat tangkai buah selepas dibalut dan hasilnya cukup memuaskan kerana ia (harumanis) nampak bersih dan segar,” kata beliau.

Di samping itu, kata beliau, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Pertanian Negeri Perlis mendaftarkan nama harumanis Perlis sebagai harta intelek.

“Pendaftaran ini untuk mengesahkan bahawa harumanis yang berkualiti hanya mempelam dari Perlis berdasarkan kesesuaian muka bumi selain menjaga reputasinya.

“Menerusi pendaftaran harta intelek, barulah tindakan boleh diambil ke atas peniaga yang menjual mempelam jenis lain tetapi menggunakan nama harumanis,” kata beliau.


Friday, July 15, 2011

Tips Hasilkan Baja Kompos

KOMPOS adalah bahan yang kaya dengan nutrien atau humus hasil daripada proses pereputan dan penguraian bahan organik oleh organisma tertentu.

Proses tersebut boleh berlaku dengan sendirinya seperti dalam hutan (pereputan lambat) atau dengan bantuan manusia supaya aktiviti pereputan berlaku dengan lebih cepat.

Kehadiran organisma yang banyak seperti cacing, kulat, bakteria, larva kumbang dan sebagainya akan membantu mempercepatkan proses pereputan kompos.

Organisma ini boleh hadir secara semula jadi atau dengan bantuan manusia seperti penambahan EM (effective microb).

Kompos biasanya digunakan dalam bidang pertanian, landskap, hortikultur dan juga taman-taman bunga.

Ia memberikan berbagai-bagai faedah antaranya sebagai perawat tanah semulajadi, baja sampingan, humus tambahan dan juga sebagai racun semulajadi di dalam tanah.

Kompos mampu dihasilkan sendiri kerana cara membuatnya sangat mudah. Selain faedah kompos yang pelbagai guna, secara tidak langsung kita juga dapat mengurangkan masalah lambakan sampah di negara ini.

Fungsi

  • Meningkatkan dan mempertahankan kesuburan tanah dengan memperbaiki sifat kimia, sifat fizik dan sifat biologi tanah.
  • Menggembur dan menambah bahan organik ke dalam tanah.

  • Meningkatkan daya serapan air dan mineral dlm tanah sehingga

  • Membekalkan sumber makanan kepada mikroorganisma dalam tanah bagi membolehkan mikroorganisma bergerak lebih aktif.

  • Membolehkan tanah mempunyai pH yang sesuai untuk tanaman.

  • Membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan menukarkan sampah sarap kepada bahan yang lebih berguna.

  • Boleh menjadi medium semaian biji benih tanaman

  • Air kompos boleh dijadikan baja foliar dan disembur terus pada tanaman.


Keperluan asas membuat kompos

  • Karbon (C) sebagai sumber tenaga untuk aktiviti mikrob yang akan menghasilkan haba. Contoh bahan sumber C ialah jerami padi, habuk papan, rumput/daun kering, tongkol jagung dan lain-lain.
  • Nitrogen (N) untuk pertumbuhan dan pembiakan mikroorganisme yang terlibat. Contoh sumber N ialah bahan tanaman yang masih segar seperti daun pangkasan dan rumput yang masih hijau, kulit buah-buahan, sisa serbuk teh, kopi, sisa ternakan, sisa tulang, kulit telur dan sisa sayuran.
  • Oksigen perlu untuk pengoksidaan C oleh mikroorganisme.
  • Air diperlukan untuk mengekalkan kelembapan bahan kompos supaya aktiviti mikrob tidak terganggu. Antara 60 dan 70 peratus kelembapan adalah yang paling sesuai untuk mikrob.
  • Elak kekurangan oksigen dan kelembapan yang berlebihan kerana ini akan menggalakkan aktiviti anaerobik. Aktiviti anaerobik akan mengeluarkan bau yang busuk.

Tips membuat kompos

  • Nisbah kuantiti yang disyorkan antara sumber C dan N yang disyorkan ialah 30:1. Jika terlalu banyak sumber C, proses pereputan akan berlaku sangat perlahan, manakala jika berlebihan sumber N, kompos yang terhasil berbau busuk.
  • Kerap membalik-balikkan kompos untuk pengudaraan kepada mikroorganisme. Ini membolehkan proses pereputan berlaku lebih cepat. Mana-mana bahagian yang kering/kurang lembab, siram air untuk kekalkan kelembapan kompos.
  • Kekalkan kelembapan kompos supaya aktiviti mikrob lebih efisien. Peratus kelembapan yang sesuai ialah antara 60 dan 65 peratus.
  • Susun semua sumber C dan N secara berselang-seli untuk mempercepatkan proses pereputan.
  • Potong bahan yang bersaiz besar atau keras kepada saiz yang lebih kecil. Lebih besar permukaan bahan terdedah, akan lebih mudah proses pereputan berlaku.
  • Tambah jumlah mikroorganisma yang efektif seperti EM yang boleh didapati di pasaran. Ini akan membantu mempercepatkan lagi proses pereputan dan secara tidak langsung akan menyuburkan tanah.
  • Jika ada, tambah tanaman jenis kekacang kerana ia kaya dengan nitrogen yang mampu menambahkan lagi kuantiti mikrob dalam kompos.

Jangka masa membuat kompos

  • Biasanya kompos akan matang dalam masa antara empat dan enam bulan. Namun ada juga yang boleh mencapai hingga setahun atau lebih.
  • Tempoh matang sebenarnya bergantung kepada dua faktor iaitu:

  1. Bahan yang digunakan untuk membuat kompos. Jika banyak bahan bertekstur keras seperti ranting tanaman, masa yang diambil untuk mereput lebih lama.
  2. Kuantiti bahan. Jika banyak bahan, proses pereputan mengambil masa yang lebih panjang.

Ciri-ciri kompos yang matang

  • Berwarna gelap seperti tanah
  • Tidak berbau
  • Semua bahan yang digunakan sudah tidak dapat dikenalpasti
  • Tekstur yang lembut dan ringan
  • Daya penyerapan air tinggi

Alat membuat kompos

  • Kompos boleh dibuat dengan berbagai cara. Antara yang biasa dan mudah dilakukan ialah cara timbunan.
  • Selain itu ada pelbagai jenis alat yang direka khas untuk membuat kompos seperti aerobin,compost tumbler, rotocomposter dan mantis compost-Twin composting bin.
  • Setiap alat ini bertujuan mempermudahkan kita membuat kompos sendiri di rumah.