Friday, January 27, 2012

Tanaman Kacang Soya




KACANG soya (soya bean) dengan nama saintifik Glycine max dari famili Leguminosae berasal dari Asia Timur tetapi pengeluaran sekarang sebanyak 55 peratus adalah dari Amerika Syarikat.

Pokok kacang soya yang matang setinggi 60 sentimeter (sm) akan mengeluarkan bunga berbentuk rama-rama berwarna ungu dan keluar di bawah ketiak daun antara 31 dan 40 hari selepas ditanam.

Lenggai kacang soya berbeza dengan bagai sumber makanan manusia dan ternakan kerana mengandungi protein yang tinggi.


Di Malaysia kacang soya banyak digunakan dalam pembuatan kicap, tempe, air soya dan sebagainya.

Ia juga boleh diproses menjadi minyak, kosmetik, sabun dan produk pengilangan yang lain.

Antara varieti kacang soya yang sesuai ditanam di Malaysia adalah varieti dari Taiwan seperti Palmetto dan NK3 di samping Improved Pelican, Bossier dan Hardee.



Penanaman
Penyediaan tanah
* Kacang soya sesuai pada tanah peroi yang mengandungi bahan organik yang tinggi.
* Saliran mestilah baik untuk mengelak dari air bertakung.
* pH tanah yang sesuai adalah di antara 5.5 dan 6.5
* Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.
* Pengapuran perlu bagi tanah yang berasid dan dijalankan dua atau tiga bulan bulan sebelum menanam.


Kadar biji benih dan jarak tanaman
* Kadar biji benih yang disyorkan adalah 50kg/ha. Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam dan disuntik dengan Rhizobium japonicum iaitu dengan mencampurkan 10gram rhizobium dengan 250 ml air bersih untuk setiap 10 kg biji benih.
* Jarak tanaman yang sesuai adalah 102sm x 2.5 sm atau 46 sm x 15 sm atau 66sm x 10sm mengikut kesuburan tanah dan varieti kacang soya.
* Tanam satu atau dua biji selubang sedalam satu hingga tiga sentimeter (sm).
* Biji benih boleh juga ditabur secara berselerak (broadcasting).

Pembajaan
* Kadar pembajaan yang biasa adalah 20N:41P2O5:41K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.

Pengawalan rumpai
* Racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam.
* Kawalan rumpai secara manual dijalankan 1 -2 kali sebelum pokok berbunga.


Kawalan perosak dan penyakit
* Lalat kacang Melanagromyza sojae boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.
* Perosak lenggai, Etella zinckenella juga boleh dikawal dengan racun serangga Diazinon.
* Penyakit daun disebabkan oleh Fusarium sp. , dan Cercospora sp. boleh dikawal dengan racun kulat seperti Maneb, Zineb dan Manzeb.
* Penyakit reput lenggai disebabkan oleh Collectrichum sp. boleh dikawal dengan mengelakkan masa matang terjadi pada musim hujan.

Pemungutan hasil
* Hasil kacang soya boleh dipetik apabila lenggai bertukar warna kekuningan iaitu selepas 79-110 hari ditanam.
* Anggaran hasil adalah 2.2 tan/ha.


Cabaran Graduan Usahawan Tani



SEKTOR pertanian di negara ini kebiasaannya hanya dipelopori oleh para petani secara kecil-kecilan malah bidang ini kurang diminati oleh segolongan besar rakyat walaupun ia mampu memberikan pulangan yang amat lumayan.

Menyedari kesedaran di kalangan rakyat negara ini kurang didalam bidang pertanian, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Cabaran Siswatani 2011.

Disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), ia berkonsepkan pertandingan yang nyata berdasarkan realiti bidang pertanian sebenar.

Menurut Timbalan Pengerusi DPMMS, Zulkifly Ali, tujuan program tersebut adalah untuk mendedahkan pelajar terutamanya di institusi pengajian tinggi (IPT) kepada landskap sebenar tentang perniagaan tani tempatan.

"Objektif pertandingan atau program ini adalah untuk memberi pengalaman praktikal tentang kaedah pengurusan ladang yang realistik.

"Selain itu ia juga bertujuan untuk menilai kebolehan pelajar-pelajar mengawal mikro ekonomi pengurusan ladang untuk mengoptimumkan keuntungan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di UPM, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, untuk merealisasikan program tersebut DPMMS memerlukan peserta dan antara fakulti yang memberikan maklum balas adalah Fakulti Pertanian, UPM, Serdang.

DPMMS berfungsi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sokongan dari segi kewangan dari segi tajaan hadiah dan nasihat kepada fakulti.

Manakala Fakulti Pertanian menyediakan pelajar serta program selama satu semesta (empat bulan) kepada para pelajar yang berminat.

Menurut Pensyarah, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Hawa Ze Jaafar, program tersebut telah lama ditawarkan oleh fakulti namun sebelum ini ia hanya dijalankan sebagai sebahagian daripada program akademik.


"Kehadiran DPMMS hanya sebagai pemangkin dan platform kepada pelajar untuk menonjolkan minat mereka dalam usahawan tani," ujarnya.

Ujar Dr. Hawa Zee, bagi sesi kali ini seramai 140 orang dan mereka dibahagi kepada beberapa kumpulan.

Setiap kumpulan akan diberi tugasan dan melaksanakan beberapa projek yang telah dikenal pasti iaitu projek penanaman jagung, penternakan ayam kampung, penanaman buah-buahan secara fetergasi dan juga projek akuakultur.

Para peserta juga diselia oleh pensyarah keusahawanan pertanian, pakar rujuk (pensyarah bidang berkaitan) dan pegawai sokongan teknikal dalam bidang keusahawanan pertanian.

"Sepanjang program ini berlangsung peserta dikehendaki juga dikehendaki melakukan pembentangan dan mengaplikasikan ilmu pemasaran dalam skala yang kecil," katanya.

Pada akhir program tersebut, satu aktiviti kemuncak yang dikenali sebagai Karnival Siswatani diadakan bagi meraikan para peserta oleh Timbalan Menteri Kementerian Pengajian TInggi (KPT), Datuk Saifuddin Abdullah.

Karnival yang bertemakan Siswa Pemacu Perniagaan Tani tersebut juga memberi peluang kepada para peserta untuk menjual segala produk yang telah ditanam, dipelihara mahupun yang diternak oleh mereka.

Menurut Saifuddin, karnival tersebut jelas sekali sejajar dengan matlamat pihak kerajaan untuk melahirkan siswa usahawan melalui program secara berterusan seperti yang telah digariskan di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) serta Model Ekonomi Baru (MEB).

Ujarnya, karnival sedemikian merupakan julung-julung kali diadakan sempena dengan program pertandingan 'Kehidupan Seorang Agropreneur' yang melibatkan wakil-wakil daripada KPT, MOA, UPM dan DPMMS.

 "Ini menggambarkan ikatan yang sedang dibina di antara institusi milik kerajaan dengan badan korporat ke arah melahirkan warga siswa yang bercirikan keusahawanan di bidang pertanian dan makanan.

"Di bawah program ini, para pelajar didedahkan dengan sistem Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (SCL) yang merangkumi pembentangan serta kertas kerja kajian kes usahawan dan pembentangan praktikal ladang secara berkumpulan.

"Di tambah dengan penyediaan Pelan Perniagaan di samping ujian dan peperiksaan yang merangkumi Konsep dan Teori Keusahawanan," ujarnya.

Pada karnival itu juga turut disampaikan hadiah kepada pemenang Program Cabaran Siswatani tersebut.

Juara kumpulan memenangi hadiah bernilai RM750 untuk setia kategori, tempat kedua RM500, tempat ketiga RM300, sijil penyertaan untuk setiap peserta dan Piala Pusingan untuk kumpulan terbaik keseluruhan.

Friday, January 6, 2012

Memperhebatkan Industri Koko


MUNGKIN ramai tidak tahu bahawa Malaysia pernah menjadi negara pengeluar biji koko ketiga terbesar di dunia pada sekitar tahun 1990-an.

Ketika itu, negara memiliki kawasan tanaman koko seluas 420,000 hektar dengan kadar pengeluaran biji koko 240,000 tan metrik setahun.

Namun, permintaan tinggi di peringkat global terhadap komoditi kelapa sawit menyebabkan kebanyakan ladang koko telah diambil alih oleh tanaman komoditi berkenaan.

Oleh itu, perusahaan koko hari ini terpaksa berhadapan dengan situasi pengurangan kawasan tanaman sebanyak 400,000 hektar.

Kini, sektor komoditi tersebut hanya bergantung kepada lebihan kawasan seluas 20,000 hektar untuk mengeluarkan kira-kira 15,000 tan metrik biji koko sahaja setahun.

Daripada segi pengusahanya pula, lebih 95 peratus terdiri daripada para pekebun kecil yang melakukan penanaman koko di kawasan-kawasan estet.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail, pengurangan jumlah pengeluaran itu memberi kesan yang cukup besar kepada aktiviti sektor hiliran koko.

''Sektor produk hiliran koko sebenarnya telah bermula sejak tahun 2000 dan berkembang cukup baik selepas itu.

''Pembangunannya turut disokong oleh industri pengisaran koko di mana terdapat sebanyak sembilan buah syarikat pengisar di seluruh negara.

''Namun, selepas sektor huluan mengalami masalah pengeluaran biji koko, ia telah memberi ketidakseimbangan kepada sektor hiliran ini.

''Lebih buruk lagi apabila Indonesia turut menaikkan cukai terhadap biji koko yang diimport dari negara mereka,'' katanya ketika ditemui pada program Pameran dan Persidangan Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) 2011 di Serdang baru-baru ini.

Melihat keadaan itu, LKM mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa program penanaman dan pemulihan semula komoditi koko bermula pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Antaranya, memberi insentif kepada para pekebun yang berminat menanam koko dalam bentuk bantuan bernilai RM6,500 untuk setiap satu hektar kawasan tanaman bagi tempoh selama lima tahun.

Ia merangkumi kos biji benih, input pertanian seperti baja dan racun serangga serta bantuan khidmat nasihat.

Di samping itu, LKM turut memperkenalkan program Koko Untuk Rakyat (KUR) bermatlamat memaksimumkan penggunaan tanah terbiar dan kawasan di sekitar rumah untuk tanaman pokok koko.

''Menerusi KUR, sebanyak 50 anak benih koko akan diberi secara percuma kepada individu yang berminat menanamnya. Program itu telah dimulakan di Perlis melalui pemberian sebanyak 220 anak benih kepada penduduk di sana.

''Setakat ini, program KUR telah dilaksanakan di seluruh negara dengan matlamat meningkatkan pengeluaran biji koko nasional sebanyak 30 peratus.

''Melaluinya, ia juga secara tidak langsung dapat memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha terlibat,'' jelasnya.

Disebabkan pokok koko mudah dijaga, LKM turut menjalankan projek tanaman komoditi itu di kawasan-kawasan sekolah, pejabat, penempatan berkelompok dan taman rekreasi.

Mengenai soal pasaran, Dr. Azhar memberitahu, pihak LKM akan membantu para pekebun mengumpul biji koko secara berkelompok mengikut kluster bagi memudahkan aktiviti jualan.

''LKM akan cuba sedaya upaya untuk menemukan para pekebun secara terus dengan pembeli atau pengisar untuk mengelakkan penglibatan orang tengah,'' katanya.