SEKTOR pertanian di negara ini kebiasaannya hanya dipelopori oleh
para petani secara kecil-kecilan malah bidang ini kurang diminati oleh
segolongan besar rakyat walaupun ia mampu memberikan pulangan yang amat
lumayan.
Menyedari kesedaran di kalangan rakyat negara ini kurang didalam
bidang pertanian, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS)
bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Cabaran
Siswatani 2011.
Disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), ia berkonsepkan pertandingan
yang nyata berdasarkan realiti bidang pertanian sebenar.
Menurut Timbalan Pengerusi DPMMS, Zulkifly Ali, tujuan program
tersebut adalah untuk mendedahkan pelajar terutamanya di institusi
pengajian tinggi (IPT) kepada landskap sebenar tentang perniagaan tani
tempatan.
"Objektif pertandingan atau program ini adalah untuk memberi
pengalaman praktikal tentang kaedah pengurusan ladang yang realistik.
"Selain itu ia juga bertujuan untuk menilai kebolehan pelajar-pelajar
mengawal mikro ekonomi pengurusan ladang untuk mengoptimumkan
keuntungan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di UPM, Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, untuk merealisasikan program tersebut DPMMS
memerlukan peserta dan antara fakulti yang memberikan maklum balas
adalah Fakulti Pertanian, UPM, Serdang.
DPMMS berfungsi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang
memberikan sokongan dari segi kewangan dari segi tajaan hadiah dan
nasihat kepada fakulti.
Manakala Fakulti Pertanian menyediakan pelajar serta program selama
satu semesta (empat bulan) kepada para pelajar yang berminat.
Menurut Pensyarah, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, UPM, Dr.
Hawa Ze Jaafar, program tersebut telah lama ditawarkan oleh fakulti
namun sebelum ini ia hanya dijalankan sebagai sebahagian daripada
program akademik.
"Kehadiran DPMMS hanya sebagai pemangkin dan platform kepada pelajar
untuk menonjolkan minat mereka dalam usahawan tani," ujarnya.
Ujar Dr. Hawa Zee, bagi sesi kali ini seramai 140 orang dan mereka dibahagi kepada beberapa kumpulan.
Setiap kumpulan akan diberi tugasan dan melaksanakan beberapa projek
yang telah dikenal pasti iaitu projek penanaman jagung, penternakan ayam
kampung, penanaman buah-buahan secara fetergasi dan juga projek
akuakultur.
Para peserta juga diselia oleh pensyarah keusahawanan pertanian,
pakar rujuk (pensyarah bidang berkaitan) dan pegawai sokongan teknikal
dalam bidang keusahawanan pertanian.
"Sepanjang program ini berlangsung peserta dikehendaki juga
dikehendaki melakukan pembentangan dan mengaplikasikan ilmu pemasaran
dalam skala yang kecil," katanya.
Pada akhir program tersebut, satu aktiviti kemuncak yang dikenali
sebagai Karnival Siswatani diadakan bagi meraikan para peserta oleh
Timbalan Menteri Kementerian Pengajian TInggi (KPT), Datuk Saifuddin
Abdullah.
Karnival yang bertemakan Siswa Pemacu Perniagaan Tani tersebut juga
memberi peluang kepada para peserta untuk menjual segala produk yang
telah ditanam, dipelihara mahupun yang diternak oleh mereka.
Menurut Saifuddin, karnival tersebut jelas sekali sejajar dengan
matlamat pihak kerajaan untuk melahirkan siswa usahawan melalui program
secara berterusan seperti yang telah digariskan di bawah Pelan Strategik
Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) serta Model Ekonomi Baru (MEB).
Ujarnya, karnival sedemikian merupakan julung-julung kali diadakan
sempena dengan program pertandingan 'Kehidupan Seorang Agropreneur' yang
melibatkan wakil-wakil daripada KPT, MOA, UPM dan DPMMS.
"Ini menggambarkan ikatan yang sedang dibina di antara institusi
milik kerajaan dengan badan korporat ke arah melahirkan warga siswa yang
bercirikan keusahawanan di bidang pertanian dan makanan.
"Di bawah program ini, para pelajar didedahkan dengan sistem
Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (SCL) yang merangkumi pembentangan
serta kertas kerja kajian kes usahawan dan pembentangan praktikal ladang
secara berkumpulan.
"Di tambah dengan penyediaan Pelan Perniagaan di samping ujian dan
peperiksaan yang merangkumi Konsep dan Teori Keusahawanan," ujarnya.
Pada karnival itu juga turut disampaikan hadiah kepada pemenang Program Cabaran Siswatani tersebut.
Juara kumpulan memenangi hadiah bernilai RM750 untuk setia kategori,
tempat kedua RM500, tempat ketiga RM300, sijil penyertaan untuk setiap
peserta dan Piala Pusingan untuk kumpulan terbaik keseluruhan.
No comments:
Post a Comment