Tuesday, July 19, 2011

Kerajaan Henti Beri Geran Penuh

TANJONG KARANG 18 Julai - Kerajaan menghentikan pemberian geran bantuan kewangan penuh kepada peserta program perniagaan Industri Asas Tani (IAT) di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, sebaliknya hanya peserta program IAT yang telah memulakan perniagaan layak diberikan sebahagian daripada geran berkenaan.

Beliau menegaskan, dasar tersebut bagi memastikan usahawan industri asas tani lebih komited dalam perniagaan yang diceburi.

"Kementerian hanya akan memberi sebahagian bantuan kewangan kepada peserta terlibat dari segi modal untuk membesarkan perniagaan, pembelian mesin dan sebagainya.

"Sebahagian lagi peruntukan kewangan untuk tujuan itu akan ditanggung oleh peserta berkenaan melalui pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Majlis Pembangunan Pertanian (MPP) Kawasan Tanjong Karang di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPP Kawasan Tanjong Karang, Datuk Shamsuddin Lias dan lebih 400 peserta IAT bagi kawasan berkenaan.
Menurut Noh, perubahan dasar yang membabitkan penerima geran IAT itu bukan bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak yang ingin memajukan perniagaan mereka.

Ini kerana, beliau berkata, kerajaan masih lagi meneruskan pemberian bantuan kewangan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan industri asas tani.

"Sehingga kini, kerajaan tetap memberi bantuan kewangan RM2,000 kepada peniaga layak tanpa bayaran balik," katanya.

Menjelaskan tentang perubahan dasar berkenaan, Noh berkata, jika peserta program IAT memohon bantuan RM20,000, kerajaan meluluskan sebanyak 80 peratus daripada jumlah tersebut manakala selebihnya perlu ditanggung oleh peserta berkenaan.

"Sekiranya mereka memohon geran melebihi RM100,000, kerajaan akan berikan geran pada kadar 60 peratus dari jumlah tersebut dan 40 peratus lagi akan ditanggung oleh pemohon," katanya.

No comments: