Friday, January 6, 2012

Memperhebatkan Industri Koko


MUNGKIN ramai tidak tahu bahawa Malaysia pernah menjadi negara pengeluar biji koko ketiga terbesar di dunia pada sekitar tahun 1990-an.

Ketika itu, negara memiliki kawasan tanaman koko seluas 420,000 hektar dengan kadar pengeluaran biji koko 240,000 tan metrik setahun.

Namun, permintaan tinggi di peringkat global terhadap komoditi kelapa sawit menyebabkan kebanyakan ladang koko telah diambil alih oleh tanaman komoditi berkenaan.

Oleh itu, perusahaan koko hari ini terpaksa berhadapan dengan situasi pengurangan kawasan tanaman sebanyak 400,000 hektar.

Kini, sektor komoditi tersebut hanya bergantung kepada lebihan kawasan seluas 20,000 hektar untuk mengeluarkan kira-kira 15,000 tan metrik biji koko sahaja setahun.

Daripada segi pengusahanya pula, lebih 95 peratus terdiri daripada para pekebun kecil yang melakukan penanaman koko di kawasan-kawasan estet.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail, pengurangan jumlah pengeluaran itu memberi kesan yang cukup besar kepada aktiviti sektor hiliran koko.

''Sektor produk hiliran koko sebenarnya telah bermula sejak tahun 2000 dan berkembang cukup baik selepas itu.

''Pembangunannya turut disokong oleh industri pengisaran koko di mana terdapat sebanyak sembilan buah syarikat pengisar di seluruh negara.

''Namun, selepas sektor huluan mengalami masalah pengeluaran biji koko, ia telah memberi ketidakseimbangan kepada sektor hiliran ini.

''Lebih buruk lagi apabila Indonesia turut menaikkan cukai terhadap biji koko yang diimport dari negara mereka,'' katanya ketika ditemui pada program Pameran dan Persidangan Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) 2011 di Serdang baru-baru ini.

Melihat keadaan itu, LKM mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa program penanaman dan pemulihan semula komoditi koko bermula pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Antaranya, memberi insentif kepada para pekebun yang berminat menanam koko dalam bentuk bantuan bernilai RM6,500 untuk setiap satu hektar kawasan tanaman bagi tempoh selama lima tahun.

Ia merangkumi kos biji benih, input pertanian seperti baja dan racun serangga serta bantuan khidmat nasihat.

Di samping itu, LKM turut memperkenalkan program Koko Untuk Rakyat (KUR) bermatlamat memaksimumkan penggunaan tanah terbiar dan kawasan di sekitar rumah untuk tanaman pokok koko.

''Menerusi KUR, sebanyak 50 anak benih koko akan diberi secara percuma kepada individu yang berminat menanamnya. Program itu telah dimulakan di Perlis melalui pemberian sebanyak 220 anak benih kepada penduduk di sana.

''Setakat ini, program KUR telah dilaksanakan di seluruh negara dengan matlamat meningkatkan pengeluaran biji koko nasional sebanyak 30 peratus.

''Melaluinya, ia juga secara tidak langsung dapat memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha terlibat,'' jelasnya.

Disebabkan pokok koko mudah dijaga, LKM turut menjalankan projek tanaman komoditi itu di kawasan-kawasan sekolah, pejabat, penempatan berkelompok dan taman rekreasi.

Mengenai soal pasaran, Dr. Azhar memberitahu, pihak LKM akan membantu para pekebun mengumpul biji koko secara berkelompok mengikut kluster bagi memudahkan aktiviti jualan.

''LKM akan cuba sedaya upaya untuk menemukan para pekebun secara terus dengan pembeli atau pengisar untuk mengelakkan penglibatan orang tengah,'' katanya.

No comments: